Pelakon Matthew White meninggal dunia kerana diabetes

 

Pelakon cilik, Matthew White atau Matt, 12, yang cukup popular menerusi filem Danur meninggal dunia akibat diabetes, kelmarin.

Jurucakap pengurusannya, Oki Hartanto yang mengesahkan berita sedih itu berkata, Matt meninggal dunia di hospital, di sini.

Pelakon terbabit dikatakan sudah lama menderita penyakit itu yang diwarisi daripada bapanya. Malah, Matt perlu memantau diet pemakanannya sejak kecil.


Menurut Oki, Matt tidak sedarkan diri selepas tahap kesihatannya merosot, Sabtu lalu.

Dia meninggal dunia keesokannya dan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran rumahnya di Tegal, Jawa Tengah, semalam.


Pemergiannya diratapi ramai rakan artis termasuk Prilly Latuconsina yang turut membintangi Danur bersamanya.

“Buat Matthew, anak baik, anak pintar, anak manis. Sekarang kamu sudah tidak sakit lagi sayang. Pasti kamu sudah bahagia di syurga,” tulisnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Nama Matt mula meledak selepas melakonkan watak hantu kanak-kanak sebagai Hendrik dalam Danur 2: Maddah (2018) dan Danur 3: Sunyaruri (2019).



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button