Trend seludup dadah meningkat – Ayob Khan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan aktiviti penyeludupan dadah di sempadan negara semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kes penyeludupan membabitkan negara jiran bukan perkara baharu dan ia sentiasa dipantau pihak berkuasa.
“Pasukan Gerakan Am (PGA) ada membuat rampasan dadah di Perlis dan Kelantan masing-masing pada 18 dan 21 Januari lalu. Memang trend penyeludupan dadah meningkat.
“Kita juga ada kolaborasi mantap dengan agensi luar seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan PGA di sempadan. Insya-Allah kita akan mantapkan lagi operasi di utara Semenanjung.
“Isu penyeludupan ini akan berterusan dan tidak akan habis. Penyeludup akan cari kelemahan pegawai untuk membolehkan bahan terlarang dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Ditanya operasi di pusat hiburan, Ayob Khan berkata, perkara itu adalah rutin biasa pasukan JSJN.
“Kita juga ada Op Tapis Khas, namun ia memfokuskan tokan dan sarang penagih dadah untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
BHOnline