Maya Karin tidak pernah tutup hati

 

Pintu hati aktres jelita, Maya Karin, 42, tidak pernah tertutup menerima lamaran cinta, meskipun rumah tangga yang dibina atas dasar cinta berkecai di pertengahan jalan.

Sejak berpisah dengan bekas suami kira-kira 11 tahun lalu, Maya masih meletakkan kepercayaan terhadap institusi perkahwinan apabila terbuka didekati mana-mana lelaki.

Buktinya, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke mendedahkan sedang mengenali dan didekati beberapa jejaka. Malah, tidak menolak ada antara mereka yang sesuai dijadikan calon suami pada penghujung tahun lalu.

Bagaimanapun, tanpa angin atau ribut, kini timbul pula gosip baharu mendakwa pelakon yang meledak menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam itu menjalinkan hubungan dengan individu berpangkat Datuk.

Gosip tersebar bukan sahaja mengejutkan ramai peminat, malah, Aktres Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun itu turut terkedu mendengarnya.

“Jujurnya, saya juga tertanya-tanya siapakah Datuk yang dimaksudkan? Jika betul, saya harap tolong dedah identiti Datuk yang dikaitkan dengan saya.

“Saya mahu tahu juga siapakah gerangannya. Saya tak nafikan, ada ramai kenalan berpangkat Datuk. Hubungan sekadar kawan dan atas dasar urusan kerja.

“Namun, jika nak kaitkan ada hubungan serius, itu memang tidak benar,” katanya kepada BH Online.

Biasanya lelaki yang berpangkat dan berpengaruh, jarang sekali berstatus bujang. Justeru, apabila dikaitkan dengan golongan VVIP, tidakkah Maya risau dilabelkan pengacau rumah tangga orang?

Enggan mengambil peduli pandangan negatif dan skeptikal seperti itu, Maya menegaskan, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana prinsipnya, berani kerana benar.

“Saya tak kisah orang nak mengata. Apa yang penting, saya tidak melakukan perkara yang didakwa. Tak perlu nak takut dengan persepsi orang kerana hanya kita sahaja tahu perkara sebenar,” tegasnya.

Mengulas perkembangan hubungannya dengan seorang jejaka yang menetap di Australia dan kerap berhubung menerusi aplikasi Facetime, Maya hanya menggelengkan kepala.

Tanpa berselindung, Maya mengakui, hubungan sudah pun berakhir.

“Hubungan hanya mampu bertahan selama beberapa bulan. Kami tidak lagi berhubung dan membawa haluan sendiri. Tambahan pula jadual lakonan saya agak padat, jadi, saya kini kembali fokus kepada kerja,” luah Maya yang pernah popular menerusi lagu Erti Cinta.

Seperkara mengenai wanita kelahiran Bayreuth, Bavaria, Jerman yang cukup dikagumi adalah sikap berdikari dan tidak bergantung dengan lelaki bagi meneruskan kehidupan.

Mengulasnya, Maya berkata, cara didikan dilaksanakan orang tuanya berjaya membentuk keperibadian menjadi wanita yang berjiwa ampuh dan mandiri.

“Sejak kecil saya sudah diberi tanggungjawab menjaga dua adik jika ibu bapa tiada di rumah. Malah, mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya membawa adik-adik menaiki pesawat tanpa ditemani sesiapa pada usia 10 tahun.

“Saya percaya hasil didikan ibu bapa berjaya menjadikan saya seorang yang berdikari tanpa perlu bergantung pada orang lain termasuk dari segi wang ringgit,” jelas Maya.

Menyentuh mengenai kerjayanya, nama Maya antara barisan pelakon utama filem Telaga Suriram arahan Osman Ali bergandingan dengan Farid Kamil, Nabila Huda dan Scha Alyahya. Ini adalah filem keenam Maya bekerja di bawah sentuhan Osman.

Kali terakhir, Maya muncul dalam filem Jwanita yang diterbitkan tujuh tahun lalu.

Berkongsi lanjut karya bergenre seram itu, aktres yang mula diperkenalkan menerusi filem Seri Dewi Malam itu berkata, dia tertarik dengan jalan cerita dan watak dalam filem berkenaan.

“Walaupun filem bergenre seram, tetapi tidaklah memaparkan watak hantu. Sebaliknya, jalan cerita tidak klise dan karakter Rohaya berbeza dengan watak yang pernah dilakonkan. Ini membuatkan saya tertarik menerima tawaran Osman.

“Bagi saya, filem ini sangat menarik kerana menampilkan ramai pelakon hebat. Saya pernah berlakon dengan Farid, tetapi kali pertama bergandingan dengan Nabila dan Scha,” katanya.

Mengenai persiapan dilakukannya sebelum memasuki lokasi penggambaran penghujung bulan ini, Maya berkata, dia akan menjalani latihan bersama guru lakonannya yang juga pelakon dan pengarah kontroversi, Ellie Suriaty.

“Ada sesi latihan dikendalikan Ellie. Tetapi, ada masanya saya akan berlatih sendiri dan memberi tumpuan lebih untuk memantapkan watak Rohaya,” ujar pemegang trofi Pelakon Terbaik, Festival Filem Fantasi dan Seram Estepona, Malaga, Sepanyol pada 2005.

BH



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button