Puad Zarkashi calon BN di DUN Rengit
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membuat kemunculan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila diumum sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit.
Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu menggantikan penyandang DUN berkenaan, Ayub Jamil, yang juga EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri.
Pengumuman dibuat Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, pada majlis di Bangunan UMNO, di sini hari ini.
Mohd Puad kali terakhir bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) mempertahankan kerusi Parlimen Batu Pahat, namun tewas kepada calon PKR, Datuk Mohd Idris Jusi, dengan majoriti 1,524.
Beliau bagaimanapun tidak dicalonkan di kerusi sama pada PRU-14 dan digantikan Ketua Wanita bahagian itu, Haliza Abdullah.
Mohd Puad kali terakhir bergelar wakil rakyat selepas menang pada PRU-12 di kerusi Parlimen Batu Pahat menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti 12,968 undi.
Berita Harian