Mila Kunis berjaya kumpul derma RM143 juta bagi membantu rakyat Ukraine
Foto: Getty Images
Dua minggu selepas melancarkan tabung kutipan derma untuk rakyat Ukraine, pasangan pelakon terkenal Hollywood, Mila Kunis dan Ashton Kutcher berjaya mencapai jumlah sebanyak AS$34 juta (RM143 juta) hasil sumbangan daripada orang ramai termasuk peminat mereka.
Mila yang merupakan anak jati Ukraine mengucapkan ucapan penghargaan terima kasih di atas sumbangan tersebut menerusi laman Instagram bersama suaminya, Ashton.
Keluarga Mila berpindah ke Amerika Syarikat ketika dirinya baharu berusia lapan tahun.
Mila dan Ashton sendiri turut menyumbang sebanyak AS$3 juta (RM12.6 juta) bagi meringankan beban yang ditanggung penduduk Ukraine di saat Rusia kini sedang membedil negara mereka.
Pasangan ini juga berkata mereka tidak akan berhenti menyalurkan bantuan sehingga mencapai target sumbangan mencecah sehingga AS$40 juta (RM168 juta).
Walaupun menyifatkan dirinya seorang penduduk Amerika sejati, namun Mila menjelaskan dia sama sekali tidak pernah melupakan asal-usul keturunan keluarganya yang berasal dari negara bergolak itu.
“Saya tidak boleh menggambarkan perasaan saya (bila Ukraine diserang), hancur hati saya bila mengenangkan perkara itu,” katanya. – my-tv online