Guru rugi RM277,000 ditipu Macau Scam
Seorang guru wanita kerugian RM277,000 selepas diperdaya sindiket penipuan Macau Scam, kononnya terbabit kesalahan pengubahan wang haram.
Kejadian berlaku 18 Februari lalu, apabila wanita berusia 55 tahun itu dihubungi individu menggunakan nama Sofea Amira, kononnya dari ibu pejabat sebuah syarikat insurans di Kuala Lumpur, mendakwa mangsa membuat tiga tuntutan insurans dengan hospital swasta di Petaling Jaya berjumlah RM68,800.
Selepas menafikan dakwaan itu, panggilan kemudian disambungkan kononnya ke Balai Polis Pudu, sebelum mangsa bercakap dengan individu mendakwa dirinya Sarjan Mejar Mohd Sarif Samad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, individu menyamar anggota polis itu mengatakan kes mangsa boleh diselesaikan, sebelum panggilan sekali lagi disambungkan dengan kali ini kepada individu yang menyamar sebagai Inspektor Azman.
“Lelaki terbabit membuat semakan ke atas nombor kad pengenalan mangsa dan mendapati namanya terbabit pengubahan wang haram, dengan satu waran tangkap dikeluarkan atas nama mangsa.
“Selepas itu panggilan disambungkan kepada seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai Timbalan Pendakwa Raya Mastura,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pada 21 Februari mangsa diarahkan ke bank di Raub untuk menukar kad juruwang automatik (ATM) dengan nombor pin diarah menggunakan nombor hadapan kad pengenalan mangsa.
Katanya, pada 22 Februari mangsa menerima panggilan dari individu yang menyamar Inspektor Yong, meminta menyatukan semua wang simpanan miliknya ke dalam satu akaun bank bagi tujuan pengesahan bahawa wang terbabit bukan dari sumber pengubahan wang haram.
“Mangsa yang takut hanya mengikuti arahan suspek dengan menyatukan wang bank berjumlah RM277,128.13 ke dalam satu akaun sahaja.
“Namun keesokannya, mangsa membuat semakan ke atas akaun bank miliknya dan mendapati baki yang tinggal hanya RM128.13. Mangsa cuba menghubungi kembali nombor telefon suspek, namun tidak dijawab sebelum menyedari dirinya ditipu.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam,” katanya.
BHOnline