Gagal seludup minyak diesel

Klang: Cubaan seorang lelaki menyeludup minyak diesel menggunakan lori tangki di sebuah stesen minyak di Jalan Pandamaran dekat Pelabuhan Klang gagal apabila ditahan Khamis lalu.

Serbuan menerusi OPS LIPAN itu dilaksanakan sekitar jam 11 pagi susulan aduan khas diterima Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, sepasukan penguatkuasa melakukan pemantauan berdekatan stesen minyak itu dan mendapati sebuah lori tangki sedang mengisi bahan api jenis diesel di stesen terbabit.



Katanya, pengisian dilakukan ke dalam tangki simpanan lori itu yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 50-an.

“Pasukan menahan lori dan pemandu tersebut bagi siasatan.

“Turut disiasat adalah pengurus stesen minyak dan syarikat pemborong minyak yang namanya tertera pada pintu lori.

“Sitaan juga dibuat terhadap lori, bahan diesel, resit belian yang dianggarkan RM8,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Peraturan 18 dan 21(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button