Kereta Singapura pandu laju, polis tak pilih kasih

Johor Bahru: Polis Johor sentiasa tegas dalam penguatkuasaan pematuhan undang-undang jalan raya termasuk kepada warga Singapura.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan M Kumarasan berkata, pihaknya tidak mengamalkan istilah pilih kasih atau ‘double standard’ terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dengan jelas.

Katanya, sekiranya wujud kesalahan seperti mana maklumat yang disalurkan, kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan lanjut sehingga ke pertuduhan di mahkamah.



“Mana-mana individu dengan jelas melakukan kesalahan, tindakan akan diambil.

“JSPT sentiasa menjalankan penguatkuasaan secara berterusan seperti Ops Utama (Laju) dan operasi rutin di semua lokasi iaitu lebuh raya, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Jalan Bandaran.

“Berkaitan kenderaan Singapura yang memandu secara melulu, memang tidak dinafikan ada kejadian sebelum ini dan memang tindakan diambil,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan beberapa buah kenderaan bernombor pendaftaran Singapura yang dipandu laju dan memotong secara merbahaya di Persimpangan lampu isyarat Felda Gugusan Adela dari Sungai Rengit menghala ke Bandar Penawar pada Ahad lalu.



Video itu dirakam orang awam sebelum dimuatnaik di Facebook ‘pen hitam’ dan tular di media sosial.

Video yang berdurasi 41 saat memaparkan sebuah kereta berwarna emas yang dipandu dalam keadaan merbahaya dengan cara memotong kenderaan lain secara melulu, dan boleh menyebabkan kemalangan.

Susulan rakaman terbabit pihak polis bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik Ibu Pejabat Kota Tinggi membuka kertas siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kumarasan berkata, masyarakat adalah mata dan telinga kepada pihak polis.



Katanya, kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan maklumat banyak membantu dari segi siasatan dan kejayaan untuk pertuduhan di Mahkamah.

“Sekiranya ada maklumat yang disalurkan kita akan jalankan siasatan lebih-lebih lagi dengan bukti video seperti kes di Kota Tinggi.

“PDRM khususnya JSPT memang tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang dengan sengaja melanggar peraturan dan undang-undang,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button