Hafizh “El Pescao” Syahrin tunjuk peningkatan
KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah optimis dia mampu bersaing pada aksi pembukaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Aragon, Sepanyol hujung minggu ini.
Keyakinan itu hadir selepas dia menunjukkan peningkatan pada dua hari sesi ujian pramusim di litar sama yang berakhir semalam.
Pelumba Mie Racing Honda itu menunjukkan peningkatan setiap kali turun ke trek dan bagi Hafizh ia satu pendekatan terbaik untuk terus mengenali jentera baharunya selepas kali pertama di Litar Catalunya, Sepanyol, hujung bulan lalu.
“Di Aragon, kami menguji beberapa barangan tambahan dan teruskan penyesuaian dengan motosikal, pasukan dan kategori baharu ini,” kata Hafizh yang sebelum ini beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia.
“Saya sangat gembira dengan pasukan dan bagaimana kami bekerja untuk meningkat di setiap sesi, setiap kali kami keluar dari garaj. Sudah pasti, kami memerlukan lebih banyak kilometer sebelum kami benar-benar faham elektronik dan tayar kerana pada masa ini, kami tidak mempunyai banyak data untuk dijadikan perbandingan.
“Secara keseluruhan, saya gembira dengan tugas dua hari ini. Perlumbaan pertama pastinya menjadi sebahagian proses pembelajaran saya; ini hanya permulaan tetapi saya amat menantikan untuk lebih meningkat dan memberikan yang terbaik dalam perlumbaan.”
Hafizh menamatkan sesi ujian dua hari itu dengan mencatat masa sepusingan terbaiknya 1 minit 52.312 saat (s) untuk berada di tangga ke-22 keseluruhan daripada 25 pelumba kelas WorldSBK.
Pelumba Kawasaki Racing Team WorldSBK, Jonathan Rea mengungguli sesi ujian berkenaan dengan catatan terpantas dilakukannya, 1:48.714s manakala Toparak Razgatliouglu (Pata Yamaha With Brixx WorldSBK) berada di tempat kedua, 1:49.068s.
Berada di tempat ketiga adalah Alvaro Baustista (Aruba.It Racing-Ducati), 1:49.094s.
BHOnline