Shuib sukar padam memori Ramadan

KUALA LUMPUR: Ramadan kali ini tidak seindah tahun-tahun sebelumnya bagi pelawak dan pelakon, Shuib Sepahtu, 38.

Pemergian isteri tersayang yang juga penyanyi Allahyarham Siti Sarah Raissuddin yang menghadap sang pencipta pada tanggal 9 Ogos, tahun lalu akibat COVID-19, tiga hari selepas berjuang melahirkan anak bongsu, Ayyash Affan membuatkan kehidupan Shuib tidak lagi seindah dahulu.

Andai orang lain tidak sabar menantikan kehadiran Ramadan, berbeza pula Shuib. Kedatangan bulan mulia itu dilalui dengan penuh kesayuan apabila buat kali pertama menyambutnya tanpa isteri di sisi.



Keterujaan dan keseronokan melakukan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan bagaikan lenyap sejak ketiadaan isteri di sisi.

Namun, Shuib atau nama sebenarnya, Shamira Muhammad harus teguh melangkah demi empat cahaya mata yang masih kecil, selain memerlukan belaian dan kasih sayang.

“Saya anggap Ramadan kali ini paling mencabar. Ini kerana kali pertama saya menyambutnya bersendirian tanpa arwah Sarah di sisi. Anak-anak tiada masalah, mereka sangat teruja menyambut puasa.

“Dua tiga minggu sebelum tibanya bulan Ramadan, mereka sudah menunjukkan keterujaan. Jujurnya, saya tak susah menguruskan anak-anak, mereka tiada masalah bangun sahur dan berpuasa.



“Tiada merengek mahupun menangis. Alhamdulillah, mereka cukup bersemangat pada bulan puasa, malah melakukan pelbagai aktiviti bagi elak kebosanan ketika menunggu waktu berbuka puasa.

“Ada masa mereka menemani saya ke bazar Ramadan membeli juadah berbuka,” kata Shuib ketika ditemui pada sidang media program Diari Daddy secara virtual, baru-baru ini.

Namun, kata Shuib, perkara paling dirindui bersama arwah adalah kemeriahan berbuka puasa di kediamannya setiap tahun.

Katanya, sudah menjadi kelaziman arwah mengundang sanak saudara dan sahabat berbuka puasa di rumah, malah kediaman meriah dengan kehadiran tetamu umpama majlis kenduri kendara, hampir setiap malam.



“Kami suka suasana orang ramai di rumah. Setiap tahun, ruangan paling atas kediaman akan dijadikan tempat berbuka puasa.

“Kami bentang tikar dan duduk berbuka puasa beramai-ramai. Boleh katakan, arwah akan menganjurkan aktiviti berbuka puasa di kediaman tanpa gagal, setiap tahun.

“Itulah momen paling indah tidak mampu dilupakan sampai bila-bila. Saya anak tunggal dan dilahirkan dalam keluarga sangat kecil. Jadi, saya belajar makan beramai-ramai ketika berbuka puasa dan bersahur selepas berkahwin dengan arwah.

“Ketika bujang, saya berbuka dan bersahur bersendirian, namun ia sesuatu yang menyeronokkan apabila menyertai keluarga arwah. Walaupun arwah sudah tiada, tradisi berbuka puasa beramai-ramai masih diteruskan,” katanya kepada HIP.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button