JKM minta bantuan kesan waris Mohamad Arasy
JOHOR BAHRU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai mengesan waris kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, di sini.
Pegawai JKM Johor Bahru, Adnan Md Yassin, berkata kanak-kanak itu, Mohamad Arasy Abdullah, sebelum ini tinggal bersama ibu pelihara berusia 59 tahun.
Katanya, kanak-kanak terbabit pernah menerima rawatan COVID-19 pada 4 Oktober 2021 di Jabatan Kecemasan, Hospital Sultan Ismail (HSI), dan dimasukkan ke wad bersama ibu pelihara.
Bagaimanapun, beliau berkata, ibu pelihara berstatus ibu tunggal itu meninggal dunia pada 4 November 2021 sehingga kanak-kanak berkenaan hilang tempat bergantung.
Katanya, siasatan mendapati hingga kini, tiada proses pengambilan anak angkat dilakukan ibu pelihara itu.
“Hospital menghubungi waris supaya mengambil penama untuk penjagaan selanjutnya tetapi hingga kini, tiada maklum balas atau kerjasama daripada waris.
“Kanak-kanak itu dirujuk ke JKM pada 10 November tahun lalu, dan dikategorikan sebagai kanak-kanak memerlukan pemeliharaan serta perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Adnan berkata, sepasang suami isteri menunjukkan minat memelihara kanak-kanak itu untuk melengkapkan rumah tangga yang dibina sejak lapan tahun lalu.
“Pelindung masih dalam proses mengesan waris terdekat kanak-kanak berkenaan bagi membincangkan masa depannya.
“Kami berharap waris kanak-kanak itu tampil menghubungi Pelindung Kanak-kanak JKM, Intan Suria Ismail, melalui talian 07-2232606 atau 07-2232607,” katanya.