4 dalang bawa masuk PATI ditahan
ALOR SETAR: Empat suspek yang dipercayai dalang atau ejen kegiatan menyeludup masuk 202 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk Rohingya di Langkawi ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Mereka masing-masing ditahan pada 3 Mei lalu di beberapa lokasi di negeri ini iaitu di Kota Sarang Semut, Pendang dan Simpang Empat.
Siasatan awal Maritim Malaysia mendapati seorang PATI yang dibawa masuk membayar sekurang-kurangnya RM15,000 dan ejen terbabit akan membahagikan jumlah itu kepada ejen darat dan laut.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Kapten (M) Zulinda Ramly, berkata mereka ditahan dalam Ops Khas Dallal yang dilancarkan sejak April lalu bagi menjejaki rangkaian ahli sindiket yang terbabit dalam urus niaga penyeludupan PATI etnik Rohingya.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati mereka dipercayai dalang atau ejen yang terbabit dalam kes penyeludupan 202 PATI etnik Rohingya di perairan Langkawi pada 5 April lalu.
“Empat suspek yang ditahan berusia antara 24 hingga 53 tahun. Mereka ditahan susulan siasatan dua suspek yang ditahan pada 16 April dan 18 April lalu di Simpang Empat dan Guar Cempedak,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Zulinda berkata, setakat ini pihaknya masih mengesan seorang suspek yang juga dipercayai dalang dalam kegiatan itu.
“Kita percaya ejen atau dalang ini tidak mempunyai nombor akaun bank kerana warga asing dan mereka dipercayai menggunakan akaun bank warga tempatan untuk transaksi wang.
“Namun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kegiatan itu,” katanya.
Zulinda berkata, semua empat suspek itu direman selama 14 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Imigresen 1959/63.