City singkir Atletico dalam aksi ‘panas’
Madrid: Manchester City bertahan dengan keputusan seri tanpa jaringan untuk menyingkirkan Atletico Madrid dengan agregat 1-0 dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara dalam perlawanan dicemari insiden pertelagahan pemain pada lewat permainan yang berlarutan ke terowong selepas tamat perlawanan.
Polis terpaksa mengawal situasi dalam terowong di Wanda Metropolitano dengan rakaman video menunjukkan pertengkaran antaranya termasuk pemain Atletico, Stefan Savic dan pemain City, Jack Grealish yang dileraikan pegawai pasukan.
“Saya tak nampak,” kata Diego Simeone. “Saya di atas padang menghargai sokongan penonton. Ketika saya masuk ke dalam, tiada siapa di sana.”
Pep Guardiola ketika ditanya sikap pemain Atletico, dia berkata: “Tiada apa nak diperkatakan.”
Pertelagahan bermula apabila pertahanan Atletico, Felipe mencetuskan insiden di bahagian penjuru padang selepas mengasari pemain City, Phil Foden.
Felipe dilayang kad merah tetapi mencetuskan rasa tidak puas hati rakan sepasukan, pemain gantian dan pegawai Atletico yang menyerbu masuk ke padang.
“Kami tahu ia bukan tempat yang mudah dikunjungi, ia malam sukar namun cara kami bertahan dan mengawal diri kami dalam dua aksi peringkat memang menakjubkan,” kata pertahanan City, John Stones kepada BT Sport.
City akan menentang Real Madrid dan Liverpool berdepan Villarreal dalam satu lagi aksi separuh akhir untuk melengkapkan pertembungan kelab Sepanyol dan Inggeris pada saingan empat terakhir.