Baby Adam meninggal tiada unsur jenayah

Kuala Lumpur: Siasatan polis mendapati kematian bayi lelaki berusia 10 bulan bernama Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim atau Baby Adam pada 2020, tiada sebarang unsur jenayah.

Dapatan itu hasil penelitian polis terhadap laporan bedah siasat ke atas Adam yang dikeluarkan pihak Hospital Kuala Lumpur yang menunjukkan punca sebenar kematiannya adalah disebabkan pneumonia (radang paru-paru).

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, laporan bedah siasat turut menunjukkan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dalam kematian bayi terbabit.



Menurutnya, semakan pihaknya turut mendapati satu laporan dibuat oleh pemilik Rumah Bonda berhubung kematian Adam.

“Semakan menyeluruh berhubung kejadian yang membabitkan Rumah Bonda dibuat ekoran laporan yang membabitkan mangsa kanak-kanak bernama Bella.

“Ia menjadi ‘trigger point’ (titik pencetus) untuk kita semak semua apa lagi kes yang dilaporkan serta isu lain berkaitan Rumah Bonda,” katanya hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati terdapat sekurang-kurangnya 10 laporan polis diterima terhadap pemilik Rumah Bonda terutamanya selepas kes berkaitan Bella dilapor dan didedahkan.



“Ada kes-kes yang dibuka kertas siasatan dan ada kes yang tidak dibuka kertas siasatan kerana didapati tiada unsur jenayah.

“Ia termasuk laporan membabitkan kematian Baby Adam yang dibuat sendiri oleh pemilik Rumah Bonda, kita semak juga.

“Dan hasil semakan, kita mendapati laporan bedah siasat oleh doktor mengesahkan kematian disebabkan oleh pneumonia dan tidak ada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak polis akan meneliti dan melihat lebih lanjut perkara itu susulan satu laporan polis yang diterima polis, hari ini meminta polis membuka semula siasatan terhadap kematian Adam.



Katanya, beliau amat berterima kasih atas keprihatinan pelbagai pihak terhadap isu berkaitan kanak-kanak termasuk kematian bayi berkenaan.

Terdahulu, media hari ini melaporkan Pejuanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat satu laporan polis di Balai Polis Setiawangsa di sini, meminta polis supaya membuka semula kertas siasatan membabitkan kematian Adam.

Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan, Bibi Sunita S Khan, dilaporkan berkata kematian Baby Adam pada 3 Mei 2020 didakwa ada kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak di sini.

Beliau mendakwa, ada keraguan terhadap laporan kematian Adam yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) serta kaitan dengan latar belakang sejarah penyakitnya.



Bibi Sunita turut dipetik berkata Pejuanita percaya kes kematian Adam adalah kes yang perlu dibuka semula dan disiasat segera kerana laporan bedah siasat tidak dimasukkan untuk mengetahui punca sebenar kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, dipetik berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan polis itu pada jam 10.30 pagi berkaitan kematian seorang bayi di bawah jagaan Rumah Bonda yang meninggal dunia pada 3 Mei 2020.

“Pengadu mendakwa kematian bayi itu disyaki ada unsur penderaan seperti yang berlaku kepada Bella, maka pihak polis akan menjalankan siasatan rapi berkaitan aduan ini agar perkara ini dapat dijelaskan dengan baik terhadap masyarakat,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button