700 tahanan depot Imigresen lari
BANDAR BAHARU: Seramai 700 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau di sini, dilaporkan melarikan diri dalam kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kumpulan PATI antaranya dipercayai warga Bangladesh, Indonesia dan etnik Rohingya dilihat keluar beramai-ramai dari depot terbabit oleh penduduk tempatan.
Difahamkan, semua tahanan itu di bawah seliaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, namun ditempatkan di depot tahanan sementara berkenaan sebelum urusan penghantaran pulang dilakukan.
Berikutan itu, operasi menahan semula semua tahanan terpaksa dilakukan JIM yang turut mendapat bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu, Kedah dan IPD Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Sehingga kini, dimaklumkan lebih separuh tahanan yang terlepas berjaya ditahan semula dengan operasi mengesan PATI yang masih bebas masih dilakukan pihak berkuasa.
Sidang media berhubung kejadian itu dijangka akan dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pagi ini.