Masjid Nurul Iman mencari dana membaikpulih masjid
Puchong: Pihak pengurusan Masjid Nurul Iman, Kampung Tengah di sini sedang mencari dana untuk menampung kos membaikpulih masjid yang sudah berusia lebih 20 tahun itu.
Sumbangan ini turut diperlukan untuk pengurusan menjaga kebajikan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.
Nazir Masjid Nurul Iman, Rasidi Mohamad Yusop berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara mengakibatkan masjid dihadkan jumlah kehadiran jamaah serta penangguhan program pengimarahan sehingga memberi kesan kepada sumber kewangan masjid.
Katanya, keadaan ini memberi kesukaran kepada pihak pengurusan masjid untuk membaik pulih masjid untuk keselesaan jemaah.
“Masjid yang mampu menampung lebih 2,000 jemaah pada satu-satu masa ini banyak bergantung kepada sumbangan orang ramai namun ketika pandemik, sumber kewangan kita terjejas.
“Antara kerja baik pulih dan penyelenggaraan yang perlu dibuat termasuk pembaikan bumbung, mengecat, menaik taraf tandas dan peralatan elektrik.
“Sumbangan turut diperlukan untuk menjaga kebajikan pegawai dan AJK masjid,” katanya ketika dihubungi ,semalam.
Justeru itu, beliau menyeru mana-mana pihak tampil untuk memberi sumbangan supaya kerja baik pulih masjid dapat dilakukan dalam masa terdekat.
“Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian ke tabung pengurusan dan selenggara masjid di akaun Bank Islam 12065010039379 atas nama Masjid Nurul Iman Kg Tengah,” katanya.
Biarpun begitu, Rasidi melahirkan kesyukuran apabila masjid ini yang terkesan akibat banjir pada Disember lalu mendapat bantuan sewajarnya.
“Biarpun barang dan peralatan di dalam masjid musnah sepenuhnya sehingga membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit, masjid menerima bantuan dalam masa yang singkat.
“Tidak sampai seminggu, masjid sudah menerima segala barang keperluan yang disumbangkan melalui kesungguhan AJK dan keprihatinan pelbagai pihak yang tampil membantu,” katanya.
Masjid Nurul Iman Kampung Tengah ini juga dipilih sebagai tuan rumah bagi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Toyota pada Sabtu ini.
Rasidi berterima kasih dengan keprihatinan Harian Metro dan Toyota yang memilih masjid itu sebagai salah sebuah lokasi TKHM pada tahun ini.
“Bagi pihak masjid, kami sangat mengalu-alukan dengan hati terbuka bagi membantu menyalurkan bantuan kepada kariah yang memerlukan,” katanya.
METRO