Antonio Rudiger akan tinggalkan Chelsea

London: Pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger akan meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu apabila kontraknya tamat hujung musim ini.

Perkara itu diakui pengurus pasukan, Thomas Tuchel selepas mereka menang 1-0 ke atas West Ham United, semalam, pada ketika pemain Jerman itu tidak diturunkan kerana kecederaan.

Pelbagai sekatan dikenakan kerajaan Britain terhadap pemilik Chelsea dari Rusia, Roman Abramovich susulan serangan Moscow terhadap Ukraine menyebabkan kelab itu berdepan masa depan tidak menentu apabila dalam proses untuk dijual, selain tidak boleh menawarkan kontrak atau membeli pemain baru.



Rudiger iaitu bek tengah yang menyertai Chelsea dari AS Roma pada 2017 dan memenangi Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah, Liga Europa, Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia bersama kelab London itu, kini dalam radar Real Madrid.

“Situasinya sekarang, dia mahu meninggalkan pasukan dan dia memberitahu perkara itu kepada menerusi perbincangan peribadi,” kata Tuchel kepada Sky Sports.

“Kami memberikan segalanya – saya dan kelab – tetapi kami tidak boleh berjuang lagi kerana perkara itu.

“Tanpa sekatan itu, sekurang-kurangnya kami masih boleh terus berjuang, tetapi kini tangan kami diikat.



“Kami tidak mengambil hati. Itu keputusannya. Dia pemain utama dan akan kekal dengan peranan itu sehingga hujung musim. Tetapi, ini sesuatu yang mengecewakan.

“Kami akan merinduinya. Dia berpengaruh di bilik persalinan. Seseorang yang disegani tetapi mampu bermain 50 hingga 55 perlawanan dnegan aksi terbaik. Dia adalah pertahanan ternama dan kami perlu mencari pengganti.”

Kontrak dua lagi pemain pertahanan, Cesar Azpilicueta dan Andreas Christensen turut berakhir pada hujung musim ini.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button