Barcelona kecundang lagi di Camp Nou
Barcelona: Penyerang Rayo Vallecano, Alvaro Garcia menjaringkan gol awal untuk mencatatkan kemenangan mengejut 1-0 ke atas Barcelona di Camp Nou, semalam, sekali gus menyaksikan Real Madrid semakin hampir merangkul gelaran La Liga ke-35.
Garcia memastikan kemenangan buat pelawat menerusi jaringan pada minit ketujuh selepas menerima bola di dalam kotak penalti dan menewaskan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen untuk membangkitkan tiupan wisel penonton di Camp Nou.
Barcelona gagal menyudahkan beberapa peluang keemasan sekali pun bersungguh-sungguh mahu mencari gol penyamaan pada ketika pengadil memberikan 14 minit masa tambahan pada hujung babak kedua.
“Kesilapan seperti ini tidak boleh diulangi, tetapi ia berlaku lagi terhadap kami. Terlalu banyak peluang keemasan yang disia-siakan,” kata jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez kepada wartawan.
“Saya sangat marah dan kecewa kerana hari ini adalah ulangan terhadap apa yang berlaku ketika menentang Eintracht (Frankfurt), begitu juga Cadiz. Kami kurang berkesan.”
Real Madrid kini hanya memerlukan satu mata daripada baki lima perlawanan untuk mengesahkan gelaran manakala Barcelona di tempat kedua dengan 63 mata iaitu ketinggalan 15 mata di belakang Real dan sama mata dengan Sevilla di tempat ketiga.
Barcelona memiliki peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-25, tetapi percubaan pemain pertahanan, Jordi Alba di luar kotak penalti hanya terkena tiang.
Gavi kemudian merembat bola ke arah palang gol pada minit ke-42 sebelum penyerang antarabangsa Sepanyol, Ferran Torres menjaringkan gol menerusi tindakan susulan, tetapi jaringan itu dibatalkan kerana ofsaid.
Xavi menggunakan tiga penyerang dari bangku simpanan pada babak kedua apabila Memphis Depay, Adama Traore dan Luuk de Jong dimasukkan sebelum minit ke-71.
“Saya fikir kami mencipta banyak peluang untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan. Jika kami menyamakan kedudukan, kami berpeluang untuk menang.
“Kami menyukarkan peluang sendiri untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah,” kata Xavi.
METRO