‘Kami ikhlas kongsi rezeki’

Setiu: ‘Kami ikhlas berkongsi rezeki dengan pengguna jalan raya terutama yang mempunyai anak kecil,” kata Nur Nasihah Ismail, 32, peniaga tembikai yang bertindak mengagihkan potongan tembikai kepada orang ramai yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sejak beberapa hari lalu.

Nur Nasihah berkata, dia tidak menyangka tindakan suaminya dirakam pengguna jalan raya lain.

“Kami ada dua anak, jadi kami faham apabila terperangkap dalam kesesakan anak-anak kecil mudah meragam bila lapar.



“Tembikai selalunya buah kegemaran orang ramai, tak kira dewasa atau kanak-kanak.

“Bila tengok mereka gembira terima buah tembikai yang sudah dipotong ini, kami juga gembira kerana dapat juga membantu sekadar termampu,” katanya ketika ditemui di gerainya, di Kampung Beris Tok Ku, di sini, hari ini.

Nasihah berkata, sejak pagi Jumaat sehingga Sabtu lalu kawasan sepanjang laluan pantai terutama berhampiran gerainya sesak dengan kenderaan yang bergerak perlahan kembali ke destinasi masing-masing setelah pulang beraya di kampung halaman.

“Seawal 9 pagi laluan ini sudah mula sesak dan keadaan itu berlarutan sehingga 2 pagi.



“Kasihan melihat mereka terpaksa duduk lama dalam kereta kerana trafik bergerak sangat perlahan,” katanya.

Katanya, mereka menjalankan perniagaan menjual buah-buahan segar terutama tembikai ini sejak enam tahun lalu.

“Gerai ini dibuka setiap hari bermula jam 9 pagi sehingga jam 6 petang. Selain kami terdapat beberapa orang juga penduduk di sini turut mencari rezeki dengan mengusahakan perniagaan tembikai sepanjang jalan ini,” katanya,

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button