Dhabitah harap kejayaannya bakar semangat atlet lain

KUALA LUMPUR: Atlet terjun negara, Nur Dhabitah Sabri berharap kejayaannya memenangi pingat emas hari ini mampu membakar semangat atlet lain memburu lebih banyak emas di Sukan SEA Hanoi yang disingkap tirainya secara rasmi Khamis ini.

“Saya harap kejayaan ini dapat memberikan semangat kepada atlet lain untuk bekerja keras bagi mendapatkan emas. Saya tahu ia bukan mudah, tetapi saya harap sumbangan saya ini boleh meningkatkan semangat mereka,” kata Olimpian negara itu.

Penerjun berusia 22 tahun itu mengukirkan senyuman buat kontinjen negara apabila menepati ramalan menjadi penyumbang emas pertama selepas mengungguli acara 1 meter papan anjal individu wanita di Pusat Akuatik My Dinh.



Pemenang empat emas temasya dwitahunan itu sebelum ini membuktikan betapa dia berada pada kelas yang tersendiri dan sukar digugat apabila mengumpul keseluruhan 290.45 mata.

Rakan sepasukan Dhabitah, Kimberly Bong memastikan kedudukan 1-2 di atas podium buat Malaysia apabila meraih perak selepas mengumpul 230.0 mata.

Penerjun Vietnam, Ngo Phuong Mai menyertai dua penerjun negara itu di atas podium apabila meraih gangsa selepas mengumpul 224.0 mata.

Dhabitah bagaimanapun mengakui dia gementar sebelum turun beraksi selepas hampir sembilan bulan tidak beraksi dalam saingan kompetitif di pentas antarabangsa



“Saya gembira dengan kejayaan ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya ambil serius semua kejohanan yang saya sertai termasuklah Sukan SEA.

“Sebenarnya saya agak gementar sebelum turun beraksi kerana ini adalah kejohanan antarabangsa pertama selepas Sukan Olimpik Tokyo 2020 (Ogos tahun lalu).

“Selain itu, saya mahu fokus dengan prestasi saya dan mahu berikan prestasi terbaik untuk diri saya,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button