Fernandinho buru gelaran terakhir
LONDON: Kapten Manchester City Fernandinho berkata memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris musim ini akan menjadi lebih manis berbanding kejayaan-kejayaan sebelum ini.
Pemain tengah Brazil berusia 37 tahun itu akan meninggalkan Stadium Etihad pada akhir musim ini selepas sembilan tahun bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Juara bertahan City kini berada di landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan selepas mendahului tiga mata ke atas pesaing terdekat Liverpool dengan tiga perlawanan berbaki.
Ia adalah keputusan yang amat diperlukan City selepas kekalahan 6-5 secara agregat di tangan Real Madrid pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
“Setiap gelaran adalah manis. Akan hadir satu lagi… dengan tambahan sedikit gula. Kami kini fokus kepada diri sendiri dan tahu nasib terletak di tangan kami sendiri.
“Tidak kira apa yang mereka lakukan, kami perlu terus mengharungi perlawanan-perlawanan sukar. Ini yang cuba kami lakukan, fokus kepada diri sendiri, tetapi ia kebangkitan yang baik selepas kekalahan di Madrid, terutama buat peminat kami.
“Ia bukan saja berkenaan keputusan, persembahan keseluruhan juga sangat baik dan kami amat gembira,” kata Fernandinho yang memburu gelaran Liga Perdana Inggeris kelimanya.
Bagaimanapun City terpaksa melupakan khidmat tonggaknya untuk baki saingan musim ini apabila Ruben Dias terpaksa dikeluarkan ketika rehat pada aksi menentang Newcastle akibat kecederaan.
Dia menyertai dua lagi pertahanan City, John Stones dan Kyle Walker yang turut berada dalam senarai kecederaan dan terpaksa melupakan tiga perlawanan terakhir mereka.
AFP