Pengawal wanita bantu banduan lolos penjara

Washington: Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesahkan menahan seorang banduan dalam buruan dan seorang pengawal penjara yang dipercayai membantunya melarikan diri selepas operasi selama 10 hari dilancarkan.

“Casey White berada dalam tahanan,” kata Rick Singleton, syerif Lauderdale County di Alabama merujuk kepada banduan berusia 38 tahun.

Pengawal penjara itu, Vicky White, 56, dibawa ke hospital dengan kecederaan selepas penahanan di Indiana, kata Singleton.



Kenderaan pasangan itu terbabas selepas dikejar dan banduan itu menyerah diri, katanya.

Syerif berkata, dia tidak mengetahui tahap kecederaan wanita itu dan enggan mengulas mengenai dakwaan wanita itu menembak dirinya sendiri.

“Saya harap dia bertahan. Anda tahu, kami tidak mendoakan sebarang keburukan terhadap Vicky dari segi kesihatannya, kesejahteraannya.

“Tetapi dia mempunyai beberapa jawapan untuk diberikan kepada kami dan semoga kami akan mempunyai peluang itu untuk mendapatkan jawapan,” kata Singleton.



Vicky White, seorang pengawal penjara Alabama dengan rekod bersih disyaki membantu penjenayah lama Casey White melarikan diri dari tahanan pada 29 April, hari terakhirnya bekerja sebelum bersara.

Banduan itu menghadapi banyak masalah dengan undang-undang dan dijatuhi hukuman penjara 75 tahun kerana penculikan, pecah rumah dan cubaan membunuh.

Penyiasat juga mengetahui Vicky White, 56, menjual rumahnya dalam beberapa minggu sebelum melarikan diri dan mengeluarkan kira-kira AS$90,000 (RM394,515) secara tunai daripada beberapa bank di kawasan itu, kata Singleton minggu lalu.

Perkhidmatan Marshals Amerika Syarikat, sebuah agensi persekutuan berkata, dalam laporan pada Jumaat, Vicky White mungkin menghitamkan rambutnya.



Agensi itu mengeluarkan imej komposit mengenai rupa serta gambar tatu Casey White termasuk satu yang dikaitkan dengan geng penjara kulit putih.

Laporan mereka juga menyatakan perbezaan ketara pasangan itu dalam saiz, dengan Casey White berdiri 0.3 meter lebih tinggi.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button