Suarez ucap selamat tinggal
MADRID: Luis Suarez berkata Atletico Madrid sentiasa berada di hatinya selepas penyerang itu mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong kelab itu di laman sendiri selepas seri 1-1 berdepan Sevilla awal pagi tadi.
Keputusan berkenaan bermakna Sevilla akhirnya mengesahkan tempat ke kelompok empat teratas La Liga selepas gol penyamaan lewat permainan Youssef En-Nesyri di Wanda Metropoliano mengesahkan kelayakan mereka ke Liga Juara-Juara.
“Terima kasih Lucho kerana menjadikan kami juara”, tulis kain rentang sebelum sepak mula ketika Suarez menangis apabila dia diarak keliling padang bersama keluarganya selepas tamat permainan.
Pemain berusia 35 tahun itu akan meninggalkan Atletico selepas kontraknya selama dua tahun tamat musim panas ini.
Selepas dipaksa keluar oleh Barcelona pada 2020 berikutan masalah kewangan, Suarez membalas dendam dengan membuktikan dirinya penting ketika kejayaan Atletico pada La Liga musim lalu apabila meledak 21 gol dalam 32 aksi liga dan menjadi penjaring terbanyak.
Pemain Uruguay itu beraksi baik tetapi kurang menyerlah musim ini, menjaringkan 14 gol dalam 48 penampilan.
Suarez sering bermula di bangku simpanan sejak awal musim dengan Joao Felix lebih banyak dipilih jurulatih Atletico, Diego Simeone.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada penyokong Atletico, setiap seorang daripada mereka,” kata Suarez.
“Rasa sayang yang mereka berikan sejak saya tiba adalah sesuatu yang menakjubkan dan saya tidak akan lupakannya. Saya cuba memberikannya di padang, saya memberikan 200 peratus kepada kelab yang membuka pintu buat saya.
“Saya akan sentiasa membawa perasaan terhadap kelab ini walaupun tidak terlalu gembira dengan diri saya musim sebelum ini. Saya akan sentiasa membawa Atletico di hati saya.”
AFP