Satu dekad tinggal percuma
Kuala Lumpur: Langsung tiada perasaan malu atau bersalah apabila tinggal ‘percuma’ di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selama lebih sedekad tanpa mahu membayar sewa bulanan.
Lebih aneh apabila golongan berkemampuan ini adalah dalam kalangan mereka yang bekerjaya tetap, bergaji empat angka dan memiliki kenderaan mewah.
Namun ramai mereka disifatkan golongan ‘liat’ dan sengaja culas membayar sewa bulanan rumah didiami bersama keluarga hingga jumlahnya mencecah RM50 juta.
Itu antara perangai buruk majoriti penghuni ‘bermasalah’ PPR dan PA milik DBKL.
Agak mengejutkan apabila ada penghuni yang sengaja tidak mahu membayar sewa bulanan hingga menjangkau tempoh 12 tahun.
Sikap ini dianggap menjelekkan berikutan kadar sewa dikenakan DBKL hanyalah serendah RM124 hingga RM240 sebulan.
Jurucakap DBKL berkata, pelbagai alasan diberikan golongan penyewa ini yang didapati sengaja tidak mahu membayar sewa bulanan ditetapkan DBKL.
Menurutnya, alasan kekangan kewangan dan pandemik Covid-19 sukar diterima pakai sepenuhnya berikutan ada penyewa ini tidak membayar sewa sebelum Covid-19 melanda dunia lagi.
“Melalui semakan rekod akaun, penyewa bermasalah ini gagal membayar tunggakan sewa bulanan antara lapan hingga 12 tahun sejak menghuni PPR berkenaan.
“Walaupun menyedari masalah berlarutan ini, DBKL masih mengambil sikap diplomasi dan berusaha memastikan penyewa menunaikan tanggungjawab,” katanya.
Terbaru DBKL mengadakan Program Turun Padang untuk bersemuka penyewa bermasalah yang mempunyai tunggakan sewa tinggi .
“Julat tunggakan penyewa yang dipanggil untuk sesi bersemuka ini adalah antara RM9,325 dan RM46,742.90 yang tertunggak antara tempoh lapan tahun hingga 12 tahun.
“Program dilakukan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) DBKL melalui Program Turun Padang Sesi Bersemuka bersama beberapa penyewa ‘bermasalah’ di PPR Kerinchi, Lembah Pantai di sini, Selasa lalu.
Program ini disertai Pengarah JPKKB, Ismadi Sakirin bagi bertemu penyewa yang mempunyai tunggakan sewa terlalu tinggi.
“Tujuan program ini diadakan salah satu inisiatif memujuk penyewa untuk menjelaskan tunggakan sewa. Langkah ini turut bermatlamat menyampaikan peringatan berhubung tanggungjawab sebagai penyewa untuk menjelaskan bayaran sewa setiap bulan.
“Ia juga dilakukan bagi memaklumkan tindakan akan dikenakan sekiranya gagal membayar sewa selain memberi kesedaran supaya penyewa menghargai kemudahan tempat tinggal yang diberikan kadar sewa paling rendah,” katanya.
Menurutnya, lawatan turut dilakukan ke unit kediaman penyewa yang gagal menghadiri sesi bersemuka dianjurkan itu.
“Program seumpama itu akan diteruskan dari masa ke semasa di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi menjejaki penyewa yang culas menjelaskan bayaran sewa dengan tunggakan yang tinggi.
“Pendekatan ini adalah bagi mengenalpasti punca kegagalan mereka melunaskan bayaran sewa bulanan,” katanya.
Menurutnya, sikap begini seharusnya ditangani berikutan ramai individu di luar sana yang memohon dan menunggu tawaran PPR.
Angka mengejutkan kurang 50 peratus atau hanya 17,000 daripada 38,000 penyewa di 65 kediaman Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) komited membayar sewa bulanan mengikut jadual ditetapkan.
Manakala, baki 21,000 penyewa lagi mempunyai tunggakan sewa 17 peratus pada kadar tunggakan lebih RM10,000, 60 peratus pada kadar tunggakan RM1,000 hingga RM10,000 manakala baki 23 peratus mempunyai kurang RM1,000.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya mempunyai pelan pemulihan bagi isu tunggakan sewa.
Katanya, pasukan khas diwujudkan bagi mengenal pasti unit rumah yang mempunyai banyak tunggakan sewa malah turut mengadakan sesi bersemuka bersama penyewa terbabit atau mengunjungi kediaman mereka bagi mendapatkan maklumat berkaitan punca tidak membayar sewa serta memberi peringatan dan kesedaran tanggungjawab menjelaskannya.
Bagaimanapun Mahadi berkata, DBKL cuba bertolak ansur malah tidak menghalau penyewa terbabit secara drastik kerana enggan mereka kehilangan tempat berteduh.
“Berdasarkan rekod, jumlah tunggakan sewa di PA/PPR DBKL pada tahun 2018 berjumlah RM58.5 juta, 2019 berjumlah RM48.6 juta dan terus menurun pada berjumlah RM46.6 juta tahun 2020 dan RM47.6 juta tahun lalu.
“Tunggakan sewa meningkat semula sebanyak empat peratus pada suku pertama tahun ini dengan jumlah RM50.7 juta.
“DBKL meraih kutipan hasil bayaran sewa sebanyak RM66.5 juta pada tahun 2018 dan RM61.6 juta pada tahun 2019.
“Hasil kutipan sewa menurun berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kutipan RM19 juta pada tahun 2020, RM31.6 juta pada tahun 2021 dan RM10.9 juta pada suku pertama tahun ini,” katanya.
Menurut Mahadi, pihaknya tidak menafikan pelaksanaan PKP akibat Covid-19 menyebabkan segelintir penyewa terkesan dan mengalami masalah kewangan susulan pendapatan terjejas namun ada juga tidak membayar sewa kerana sikap sendiri.
“DBKL juga cuba menjalin kerjasama dengan agensi lain seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu penyewa yang tidak mampu melangsaikan sewa rumah.
“Alternatif lain dilakukan DBKL bagi meningkatkan kesedaran penyewa adalah dengan mengaktifkan mekanisme pembaharuan perjanjian kontrak sewa rumah untuk dua tahun dan ia berkesan kerana ada yang tampil melangsaikan tunggakan sewa mereka.
“Bancian unit rumah turut dijalankan bagi mengenal pasti penyewa bermasalah, cuma kami tidak berkompromi dengan penyewa yang menyewakan unit rumah kepada orang lain, warga asing atau melakukan perbuatan jenayah atau pengambilan dadah dengan membatalkan peruntukan unit rumah mereka,” katanya.