Fenomena Garis Badai punca hujan lebat di barat Semenanjung
KUALA LUMPUR: Hujan lebat dialami beberapa negeri kebelakangan ini, disebabkan fenomena garis badai yang berlaku di kawasan barat Semenanjung dan barat Sabah, terutama pada sebelah pagi.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata garis badai atau squall line adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.
“Keadaan itu diburukkan lagi dengan faktor air pasang besar yang menyumbang kepada kejadian banjir kilat di beberapa tempat di Perlis dan Kedah disebabkan air dari sungai tidak dapat mengalir ke laut yang seterusnya melimpah keluar.
“Bagaimanapun keadaan ini hanya sementara dan cuaca dijangka kembali normal mulai hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kejadian banjir dan kepala air di beberapa negeri baru-baru ini walaupun ramalan kemarau sepatutnya akan berlaku pertengahan bulan ini susulan peralihan Monsun Barat Daya.
Mengulas lanjut katanya, MetMalaysia tidak menjangkakan kemarau berpanjangan yang ekstrem ketika Monsun Barat Daya pada tahun ini.
“Bagaimanapun, seperti lazimnya kemarau memang akan berlaku pada peringkat awal peralihan Monsun Barat Daya, namun masih terdapat kawasan yang mengalami hujan dan ribut petir.
“MetMalaysia juga tidak menjangkakan akan berlaku suatu tempoh tanpa hujan atau keadaan panas berpanjangan semasa Monsun Barat Daya tahun ini,” katanya.
Katanya, Monsun Barat Daya bermula sejak 14 Mei dan berterusan sehingga pertengahan September ini.
“Ketika Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.
“Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.
“Jadi, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain. Keadaan ini juga menyebabkan taburan hujan yang rendah,” katanya.
Katanya, kesan corak cuaca ini biasanya akan menyebabkan jerebu, cuaca kering, kebakaran hutan dan penyusutan paras air empangan.
“Dalam tempoh ini, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Ogos hingga Oktober.
“Kita nasihatkan orang ramai ketika keadaan cuaca berjerebu untuk mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka terutama di kawasan yang mudah merebak seperti tanah gambut dan berhampiran tempat pelupusan sampah.
“Orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh ini,” katanya.
BHOnline