Peniaga ayam dakwa keliru dengan harga siling

KOTA BHARU: Kebanyakan peniaga ayam di sini, tidak meletakkan tanda harga kerana mendakwa mereka masih keliru dengan harga siling sebenar ditetapkan pihak berkuasa.

Tinjauan di Pasar Berek 12 dekat sini, mendapati kebanyakan peniaga ayam segar tidak mempamerkan harga ayam sekilogram yang dijual sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembeli mengenai harga sebenar ayam yang dijual.

Mereka hanya memaklumkan harga ayam apabila pembeli bertanyakan harga bagi sekilogram barangan keperluan terbabit.



Peniaga, Rogayah Samad, 52, mengakui dia adalah di antara peniaga ayam yang tidak mempamerkan tanda harga, namun mendakwa berbuat demikian disebabkan tidak mendapat maklumat tepat mengenai harga siling ayam yang sebenar.

“Sejak awal Aidilfitri lalu, saya menjual ayam dengan harga RM10.50 sekilogram memandangkan mendapat harga yang mahal daripada pihak pemborong sekaligus menyebabkan saya terpaksa menaikkan sedikit harga ayam untuk mendapatkan untung.

“Pada masa sama, saya juga difahamkan bekalan ayam turut mengalami kekurangan yang mungkin sedikit sebanyak memberi kesan kepada kenaikan harga ayam pada masa kini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, di sini, hari ini.

Manakala bagi Rokiah Salleh, 65, pula mendakwa dalam keadaan sekarang harga ayam tidak menentu dan mengalami naik turun harga sehingga menyebabkannya dia sendiri berasa keliru apatah lagi pelanggan.



“Saya berharap agar isu harga ayam dapat segera diselesaikan bagi mengelakkan kekeliruan daripada pelbagai pihak,” katanya.

Sementara itu, pembeli, Ahmad Fikri Abdullah, 30, mendakwa turut terkesan dengan isu harga ayam yang semakin mahal sehingga membebankan golongan B40 sepertinya.

“Bagi saya mempamerkan harga barang adalah penting untuk membandingkan harga selain memudahkan urusan membeli agar ia mencukupi dengan bajet yang ada.

“Justeru itu, peniaga perlu meletakkan tanda harga di barang jualan mereka tidak kira barang yang dijual itu murah atau mahal supaya pengguna tahu bahawasanya peniaga tidak menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button