Dominasi Malaysia dalam acara lompat tinggi berakhir

HANOI: Penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi lelaki Sukan SEA sejak 2005, berakhir apabila Nauraj Singh Randhawa sekadar meraih pingat perak di Stadium Nasional My Dinh National Stadium di sini.

Malaysia memenangi pingat emas lompat tinggi lelaki dalam setiap edisi Sukan SEA sejak 1977, kecuali pada Sukan SEA 2005 di Manila yang menyaksikan Nguyen Duy Bang dari Vietnam meraih emas.

Pelompat berusia 30 tahun itu hanya berjaya melepasi lompatan terbaiknya 2.18 meter (m), jauh lebih rendah berbanding rekod kebangsaannya 2.30m yang dicatatkan pada Terbuka Singapura 2017, bagi mengekalkan pingat perak yang dimenanginya pada edisi Filipina, selepas pemenang pingat emas dan rakan senegara Lee Hup Wei bersara.



Setelah melepasi ketinggian 2.04m, 2.15m dan 2.18m, beliau tidak mampu melepasi jarak 2.21m dan 2.23m untuk mengetepikan Kobsit Sittichai dari Thailand, yang meraih emas dengan lompatan 2.21m.

Sementara itu Mohamad Eizlan Dahalan melepasi rekod terbaik peribadi baharunya 2.18m bagi meraih gangsa untuk Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, Nauraj Singh berkata walaupun ia pengalaman yang pahit untuk ditelan, beliau terpaksa menerima hakikat tidak dapat beraksi pada tahap terbaik hari ini.

“Saya tidak tahu sebenarnya bagaimana perasaan saya. Saya datang ke sini dengan niat untuk menang. Kekalahan di peringkat seperti ini jarang berlaku kepada saya, tetapi akhirnya, ia adalah sesuatu yang saya terima, dan lawan saya juga harus dipuji, kami berdua telah melakukan yang terbaik.



“Ini adalah pertandingan luar pertama saya sejak Julai atau Ogos tahun lepas. Saya bergelut dalam latihan, terlepas latihan teknikal sejak dua minggu lepas kerana sesuatu berlaku semasa latihan di MSN (Majlis Sukan Negara).

“Tempat kedua bukanlah sesuatu yang saya harapkan. Ini adalah Sukan SEA kelima saya dan 10 tahun perjalanan saya sejak edisi Myanmar. Saya amat berbangga dengan pencapaian itu,” katanya.

Nauraj Singh memenangi tiga pingat emas Sukan SEA berturut-turut pada edisi Naypyidaw 2013, Singapura 2015 dan KL 2017.

Bagaimanapun atlet Johor itu kehilangan gelaran kepada Hup Wei pada Sukan Filipina 2019, dan Hup Wei memenangi emas keempatnya selepas yang menang pada edisi 2007, 2009 dan 2011.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button