Bekalan ayam, ikan terhad peniaga sukar penuhi permintaan
Sik: Bekalan ikan dan ayam di pasar basah di daerah ini sangat terhad menyebabkan peniaga sukar untuk menampung permintaan tinggi daripada pelanggan.
Tinjauan mendapati peniaga terpaksa berpuas hati dengan hanya mendapat separuh bekalan ayam yang ditempah, manakala bagi ikan mereka sudah menghadapi situasi itu sejak dua bulan lalu berikutan nelayan tidak dapat turun ke laut.
Peniaga ayam, Salehuddin Ibrahim, 40, berkata dia tidak mampu memenuhi kesemua permintaan pelanggan selepas bekalan ayam yang diperolehi daripada pemborong juga terhad.
“Seminggu sebelum Aidilfitri, permintaan ayam sangat tinggi tapi saya tidak dapat bekalan yang mencukupi. Hari ini contohnya, saya tempah 200 ekor ayam tapi yang saya dapat cuma 100 sahaja.
“Harga ayam pula semakin tinggi, hari ini saya terpaksa jual dengan harga RM10 sekilogram ayam naik 10 sen berbanding semalam. Saya tidak boleh jual pada harga rendah daripada RM10 kerana tidak ada untung,” katanya ketika ditemui.
Sallehuddin berkata sepanjang 15 tahun berniaga, ini adalah kali pertama dia terpaksa menghadapi situasi bekalan terhad sehingga peniaga perlu bekerjasama untuk mendapatkan bekalan.
“Saya ambil ayam daripada pemborong di Sungai Petani, ayam masih ada kerana kita ada ramai penternak di Kedah dan Pulau Pinang, cuma bekalan kurang, apa pun saya masih bersyukur kerana masih dapat berniaga setiap hari,” katanya.
Manakala peniaga ikan, Abdul Ghani Mat Piah, 65, berkata harga ikan kembung pernah mencecah sehingga RM20 sekilogram berikutan bekalan ikan itu sangat berkurangan.
Katanya, harga ikan itu tidak pernah turun daripada RM10 walaupun ikan kembung bersaiz kecil.
“Hari ini saya jual ikan kembung saiz kecil dengan harga RM12 sekilogram dan saya cuma dapat 20 kilogram kerana berkalan terhad sejak dua bulan lalu, manakala bekalan ikan selayang pula saya ambil daripada ikan sejuk beku.
“Sebelum ini saya ambil kira-kira 100 kilogram ikan kembung setiap hari. Saya difahamkan nelayan tidak dapat turun ke laut kerana faktor cuaca tidak menentu,” katanya yang sudah 35 tahun berniaga ikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Azman Nasrudin berkata bekalan ayam di negeri ini belum terputus berikutan masih ramai penternak dapat membekalkan ayam walaupun jumlahnya terhad.
“Dalam situasi sekarang, semua orang tahu bahawa makanan ayam juga meningkat serta kos lain-lain juga meningkat di peringkat ladang.
“Cuma kita harap kerajaan dapat atasi isu ini dengan segera. Di Kedah kita ada penternak dan pembekal yang masih dapat membekalkan ayam halal kepada peniaga walaupun mereka terkesan dengan kos yang semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kedah, semalam.
Semalam, media melaporkan pendaratan ikan terutama di utara semenanjung berkurangan sehingga 70 peratus iaitu daripada lebih sejuta tan kepada kira-kira 300,000 tan sebulan, berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak dua bulan lalu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, kekurangan bekalan itu menyebabkan harga ikan di pasaran turut meningkat.
METRO