Bekalan ayam ada tetapi masih kurang
KUANTAN: Peniaga di Pasar Pagi Jaya Gading di sini, kembali menerima bekalan ayam, bagaimanapun masih dalam kuantiti yang terhad.
Tinjauan mendapati, peniaga mula menjual ayam dan pada masa sama, orang ramai juga tidak perlu beratur panjang, sebaliknya mudah untuk membeli ayam berbanding minggu lalu sehingga peniaga terpaksa menutup premis kerana ketiadaan bekalan.
Peniaga gerai makan, Rohana Ali, 47, bersyukur kerana tidak berdepan lagi kesukaran untuk mendapatkan ayam.
Katanya, minggu lalu dia terpaksa mencari di beberapa pasar raya dan kedai runcit kerana kebanyakan makanan yang dijualnya berkaitan ayam.
“Hari ini saya gembira kerana ayam mula dijual dan bekalan juga banyak, berbanding tidak sampai 20 ekor dijual setiap peniaga.
“Sebagai peniaga, saya harap kerajaan segera menyelesaikan isu kekurangan bekalan untuk memastikan ayam sentiasa ada di pasaran dan dijual pada harga yang tidak membebankan rakyat,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Faridah Hamdan, 56, berkata masalah kekurangan bekalan perlu ditangani oleh pihak berwajib dengan segera.
Selain itu, katanya, harga ayam yang dijual juga diharap tidak membebankan pengguna ketika ada beberapa barang keperluan lain mengalami peningkatan.
“Sebaiknya, harga jualan ayam dikawal dan tidak hanya pada musim perayaan,” katanya.
BHOnline