Sapura Energy masih belum ‘selamat’

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula hutang dan ekuiti secara holistik masih lagi perlu menjadi keutamaan kepada Sapura Energy Bhd untuk keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya, meskipun syarikat itu mencatatkan prestasi memberangsangkan pada suku pertama tahun kewangan 2023.

Penganalisis RHB Research, Sean Lim, berkata penstrukturan semula hutang Sapura Energy dengan pemberi pinjaman dan rundingan skim pengaturan bersama penghutang masih lagi berjalan.

Beliau berkata, penjanaan tunai menerusi usaha pengoptimuman kos serta inisiatif pengewangan berterusan turut menjadi keutamaan kepada penyedia perkhidmatan minyak dan gas bersepadu itu.



“Kami percaya aset-aset dalam segmen aset dan penyelenggaran (O&M) serta tenaga akan menjadi keutamaan dalam senarai penjualan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sapura Energy Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM91.93 juta pada suku pertama berakhir 30 April 2022 berbanding kerugian bersih RM97.07 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu,

Prestasi itu didorong terutama disebabkan oleh peningkatan pertukaran asing yang timbul daripada kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

Pendapatannya bagaimanapun jatuh 39.7 peratus kepada RM886.08 juta daripada RM1.47 bilion setahun lalu, terutama disebabkan oleh aktiviti projek yang rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan pada suku semasa.



Lim berkata, susulan daripada pemerolehan kontrak bernilai RM2.7 bilion baru-baru ini, nilai pesanan dalam tangan Sapura Energy meningkat sebanyak 26 peratus kepada RM8.3 bilion berbanding suku sebelumnya.

Katanya, segmen penggerudian dijangka meningkat secara berperingkat daripada lapan pelantar beroperasi sekarang kepada 10 pelantar menjelang akhir tahun kewangan 2023.

“Pengurusan memberi panduan bahawa kontraktor luar pesisir menjangkakan terma kontrak lebih baik dalam tender baharu akan datang, dengan bahagian risiko yang lebih wajar berbanding kontrak yang dianugerahkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, ia tetap berhati-hati dengan cabaran operasi seperti peningkatan tekanan kos,” katanya.



Kenanga Research dalam notanya pula berkata, Sapura Energy masih menanggung beban hutang yang tinggi berjumlah RM10.7 bilion, kesemuanya diklasifikasikan sebagai pinjaman jangka pendek dalam lembaran imbangan, dengan kumpulan baru-baru ini menghapuskan 99 peratus daripada nilai ekuitinya pada tahun kewangan 2022.

Katanya, kumpulan itu masih lagi mendapati bahawa akses kepada kemudahan kredit amat mencabar disebabkan kedudukan kewangannya yang bermasalah.

“Sehubungan itu, ia masih lagi meneruskan usaha penstrukturan semula bagi kekal beroperasi, termasuk merundingkan semula kontrak terdahulu dan juga hutang bersama penyedia pinjaman, selain melaksanakan pelan pelupusan,” katanya.

Dari segi perkembangan positif, Kenanga Research berkata Sapura Energy baru-baru ini berjaya mendapatkan pinjaman modal kerja sebanyak RM300 juta, disekuritikan kepada hasil penjualan aset Sapura 3000, yang dijangka akan dimuktamadkan bulan depan.



“Ini dijangka membantu meredakan isu kecairan untuk sekurang-kurangnya beberapa bulan lagi,” katanya

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading