Pelabur asing terus jual saham di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Trend aliran keluar dana asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu kelima berturut-turut dengan pelabur asing menjual ekuiti Malaysia berjumlah RM120.6 juta pada minggu lalu, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Jumlah itu kurang separuh daripada RM320.3 juta yang dijual bersih pada minggu sebelumnya.

Dalam Laporan Aliran Dana Mingguan, MIDF Research yang juga cabang penyelidikan MIDF Amanah berkata, pelabur asing adalah penjual bersih pada setiap hari, melainkan pada Selasa dan Jumaat apabila mereka membeli bersih, masing-masing sebanyak RM13.7 juta dan RM11.4 juta.



Katanya, aliran keluar terbesar dapat dilihat pada Isnin yang mencatatkan RM79.4 juta.

“Institusi tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk dua minggu berturut-turut selepas membeli RM29.9 juta pada minggu lalu. Mereka adalah pembeli bersih pada Isnin sebanyak RM50.2 juta dan menjadi penjual bersih pada Selasa sebanyak RM22.2 juta.

“Mereka kembali menjadi pembeli bersih pada Rabu dan Khamis iaitu masing-masing sebanyak RM5.32 juta dan RM600 juta, sebelum kembali sebagai penjual bersih pada akhir minggu itu pada RM4 juta,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research berkata peruncit tempatan membuat belian bersih pada minggu lalu, kecuali pada Jumaat apabila mereka menjual bersih RM7.4 juta, dengan pembelian bersih tertinggi dicatatkan pada Rabu berjumlah sehingga RM55.9 juta.



“Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih untuk 17 daripada 27 minggu pada tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih RM5.95 bilion. Institusi tempatan adalah penjual bersih bagi tempoh 20 daripada 27 minggu dengan jumlah aliran keluar bersih pada RM7.78 bilion.

“Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 18 daripada 27 minggu pada tahun ini. Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih pada RM1.83 bilion,” katanya.

Mengikut sektor, MIDF Research berkata sektor produk dan perkhidmatan perindustrian, teknologi dan pengangkutan menyaksikan aliran keluar bersih tertinggi pada minggu lalu, masing-masing mencatatkan RM44.6 juta, RM42.5 juta dan RM32.6 juta.

Sementara itu, tiga sektor utama dengan aliran masuk bersih tertinggi adalah perkhidmatan kewangan (RM20.6 juta), penjagaan kesihatan (RM16.4 juta ) dan perladangan (RM8.8 juta).



“Dari segi penyertaan, pelabur asing, pelabur institusi dan peruncit memperlihatkan kemerosotan dalam purata nilai dagangan harian, masing-masing pada 18.2 peratus, 21 peratus dan 14.2 peratus,” katanya.

Mengenai langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.25 peratus minggu lalu, MIDF Research berkata, ia menjangkakan kenaikan 25 bps yang berikutnya pada separuh kedua 2022 berikutan permintaan domestik yang lebih kukuh daripada dijangkakan.

“Tumpuan semasa dalam menetapkan dasar monetari BNM adalah untuk memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.

“Kami meramalkan normalisasi dasar yang selanjutnya akan dilaksanakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada September 2022 menerusi peningkatan 25 bps yang seterusnya,” katanya.



“Mengenai rantau ini, MIDF Research berkata, pada minggu lalu, pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti Asia bagi minggu kelima berturut-turut, tetapi pada kadar yang lebih perlahan, lebih separuh daripada jumlah yang telah mereka jual pada minggu terdahulu.

“Berdasarkan data agregat sementara bagi tujuh bursa Asia yang kami jejaki, pelabur yang dikategorikan sebagai ‘asing’ menjual AS$271.0 juta pada minggu lalu, ketara (lebih rendah) berbanding jualan bersih AS$3.01 bilion pada minggu sebelumnya.

“Daripada 27 minggu dagangan setakat ini pada 2022, terdapat 20 minggu bagi jualan bersih dan tujuh minggu bagi belian bersih,” katanya.

Bagi minggu berakhir 8 Julai 2022, hanya Korea Selatan, Thailand dan Taiwan mencatatkan aliran masuk bersih asing daripada tujuh bursa Asia tersebut, katanya.



Menurut MIDF Research, bagi Korea Selatan, terdapat aliran masuk bersih berjumlah AS$349.6 juta berbanding trend aliran keluarnya selama empat minggu berturut-turut, manakala Taiwan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak AS$35.3 juta selepas meraih aliran keluar bagi empat minggu berturut-turut.

Katanya, Thailand menyaksikan aliran masuk bersih untuk minggu kedua berturut-turut yang berjumlah sehingga AS$36.6 juta.

Menurut firma penyelidikan itu, kebanyakan aliran keluar disumbangkan oleh India pada AS$469.8 juta dan Indonesia pada AS$169.2 juta, manakala aliran keluar lain adalah dari Filipina dan Malaysia, masing-masing pada kadar AS$26.2 juta and AS$27.3 juta.

Katanya, Filipina menyaksikan aliran keluar bersih asing yang berterusan untuk tempoh 18 minggu pada masa ini, manakala India pada 14 minggu.



“Pelabur asing adalah penjual bersih bagi ekuiti Asia pada Isnin dan Rabu, masing-masing pada AS$975.8 juta dan AS$434.9 juta dan kembali sebagai penjual bersih pada Selasa, Khamis dan Jumaat, masing-masing mencatatkan AS$474.8 juta, AS$562.5 juta dan AS$102.5 juta.

“Aliran keluar bersih pada Isnin diterajui oleh India pada AS$542.7 juta, Taiwan pada AS$152.1 juta dan Korea Selatan pada AS$137.6 juta, manakala aliran keluar bersih pada Rabu didahului oleh Taiwan pada AS$292.8 juta dan India pada AS$100.3 juta,” tambahnya.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button