‘Bahas isu rampasan aset PETRONAS di Azerbaijan’

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berhubung rampasan aset PETRONAS oleh waris kesultanan Sulu.

Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, usul itu dikemukakannya semalam bagi membolehkan isu rampasan itu dibahas pada sidang Dewan Rakyat minggu depan.

“Saya sudah menghantar satu usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat berkaitan dua anak syarikat PETRONAS di Luxembourg dirampas oleh Kesultanan Sulu.



“Perkara ini wajib dijawab Perdana Menteri dan mesti dibahaskan pada sidang Parlimen yang akan datang.

“Rakyat wajar mendapat penjelasan berkaitan perkara ini memandangkan ia adalah aset negara kita,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas oleh waris Kesultanan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, menurut laporan Financial Times.

Peguam pihak yang menuntut, dilaporkan merampas aset PETRONAS yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion.



Peguam berkenaan berkata, bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka.

Bagaimanapun, PETRONAS dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan dua asetnya di Azerbaijan sudah dilupuskan dan hasilnya sudah dipulangkan.

Syarikat itu menjelaskan kedua-dua anak syarikat itu, PETRONAS Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan PETRONAS South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan ini telah dipulangkan dengan sewajarnya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button