Isu kesihatan mental dalam lagu Ajai

Isu kesihatan mental

 

Tampil dengan buah tangan terbaru, single berjudul Rasa Tak Menipu ciptaan Ajai mengangkat isu kesihatan mental yang semakin mendapat perhatian masyarakat sekarang.

Menjelaskan kisah di sebalik lagu itu, Ajai atau nama sebenar, Mohd Faizal Maas mahu meningkatkan kesedaran ramai terhadap kesihatan mental, apatah lagi selepas pandemik COVID-19 melanda dunia.

“Isu kesihatan mental ini bukan mainan, ia sangat berbahaya.

“Saya amat terkejut apabila mendapat tahu ada pelbagai jenis gangguan mental. Saya fikir orang ramai perlu ambil tahu.

“Kita semua perlu ada pemahaman yang lebih baik mengenai punca gangguan mental ini,” katanya.

Bagi menghidupkan karya itu, Ajai menyerahkan single Rasa Tak Menipu kepada penyanyi, Hazama untuk merakamkannya.

Ajai berkata, single berkenaan menyentuh konflik dalaman atau bebanan jiwa yang dihadapi insan yang tiba-tiba berdepan suatu kehilangan.

Isu kesihatan mental-Ajai

“Kita semua pernah melaluinya dan faham perasaan di sebalik kehilangan itu. Lagu ini berkisar konflik dalaman apabila seseorang yang kita cintai, pergi secara mengejut.

“Kita tidak dapat menerima hakikat itu, malah ada yang menderita akibatnya,” katanya.

Sementara itu, Hazama berkata, projek rakaman single Rasa Tak Menipu bersama Ajai sangat mudah.

“Saya pernah merakamkan lagu ciptaan Ajai iaitu Di Amaran Mama di mana lirik dihasilkan Ad Samad. Kali ini, saya cukup teruja untuk merakamkan sebuah lagi karya ciptaan Ajai,” katanya.

Single Rasa Tak Menipu yang juga projek usaha sama antara Wake The Baby Records dan ISK.MUSIK menjadi lagu tema drama Epilog 3 Naga yang disiarkan Awesome TV.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button