Rampas 35,842 kg ayam beku seludup

Rantau Panjang: Sejumlah 35,842 kilogram (kg) ayam beku bernilai RM224,000 termasuk cukai yang dipercayai diseludup, berjaya dirampas dalam tempoh enam bulan ini.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan terbaharu adalah pada 2.40 pagi semalam di tepi jalan Kampung Berdang dekat Jalan Jeli-Dabong di Jeli, membabitkan 7,500 kg ayam beku bernilai RM30,000.

Menurutnya, semua ayam beku itu tiada permit dan dipercayai dibawa masuk dari Thailand menerusi pangkalan haram di sempadan negara.



“Kita menahan pemandu lori yang juga penduduk tempatan berusia 31 tahun untuk membantu siasatan dan menyita lori.

“Siasatan mendapati, modus operandi sindiket adalah menghantar lori kosong untuk diisi ayam beku yang diseludup di lokasi dekat sempadan.

“Sebaik lori siap diisi muatan berkenaan, lori akan dikembalikan kepada pemandu asal untuk dihantar ke Lembah Klang,” katanya pada sidang media di pejabat kastam di sini, hari ini.

Menurutnya, daging ayam beku diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Jadual Ketiga Perintah kastam (Larangan Mengenai Impot) 2022.



Untuk itu, katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button