BN Tawan Putrajaya Pada PRU-15 – Presiden

BENTONG – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin sekiranya semangat yang ditonjolkan oleh Veteran UMNO berterusan sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO akan menjadi dominan dan Barisan Nasional (BN) akan menawan kembali Putrajaya.

Jelas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, atas rasa keyakinan yang tinggi ke atas Veteran UMNO, beliau turut berazam untuk bekerja keras bagi menjadikan BN sebagai kerajaan semula.

“Saya kagum dengan Veteran UMNO Malaysia. Kekaguman ini berdasarkan kepada iltizam yang cukup tinggi daripada semua kepimpinan dan ahli-ahli yang hadir.



“Saya ucap tahniah. Tentu ada satu garis besar yang telah ditetapkan oleh Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa, sehingga diterjemah dengan komitmen yang tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di Konvensyen Nasional Veteran UMNO Malaysia dan Pelancaran Gerak Kerja ‘Keluargaku Pengundi BN’ di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberikan pengiktirafan kepada Veteran UMNO serta meminta seluruh ahli untuk tidak pernah merendahkan mereka.

“Yang ada di sini adalah orang-orang UMNO yang tetap menjadi loyalis kepada UMNO. Jangan pernah rendahkan veteran. Tidak akan ada yang baru jika tiada yang lama. Yang lama menyayangi, yang baru mesti menghormati yang lama.

“Kalau Veteran UMNO minta pengiktirafan daripada saya, saya tiada masalah untuk memberikan pengiktirafan. Asalkan jadi loyalis kepada UMNO,” katanya.



Konvensyen Nasional Veteran UMNO Malaysia telah berjaya mengumpulkan sebanyak 304 peserta dari pelbagai negeri dengan dua peserta yang telah mencecah umur 86 tahun tetapi masih mempunyai semangat juang yang tinggi.

Manakala di dalam satu hantaran di Facebook dengan memaparkan grafik kibaran bendera BN, Ahmad Zahid berkata inilah satu-satunya lambang BN sejak dahulu hingga kini dan berbakti memacu kegemilangan negara.

“Logo BN dacing berwarna putih dan berlatarbelakangkan warna nilakandi. Bendera ini pernah menjadi panji terhebat memacu kegemilangan negara.



“Berbakti di serata pelusuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Malahan ujarnya lagi, ia memayungi kemakmuran dan kesejahteraan segenap kehidupan rakyat.

“Lambang sebuah perikatan kerjasama, kestabilan serta perpaduan yang luhur. Hari silih berganti simbol BN terus terpahat dalam politik jasa dan budi.

“Neraca ini akan kekal berpaksi pada asas paling kukuh untuk rakyat demi rakyat. Lalu menjadi harapan sebenar rakyat apabila tiba masanya nanti. Insya-Allah,” katanya.



UMNO ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button