‘Pelantikan Tengku Zafrul permulaan dalam politik’

SHAH ALAM: Pelantikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor adalah tepat dan menjadi permulaan pembabitannya sebagai ahli politik.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebelum pengumuman pelantikan itu dibuat, Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar sudah mengadakan perbincangan dengannya berhubung perkara itu.

“Saya memberikan pandangan (dalam perbincangan).. ini langkah permulaan untuk beliau (Tengku Zafrul) terjun sebagai orang politik.



“Beliau juga sudah menjadi ahli UMNO cawangan Jalan Travers sejak 1993. Peluang itu adalah ruang terbaik bukan saja kerana beliau sudah dikenali, tetapi tentu beliau mempunyai hasrat untuk terbabit secara langsung dalam parti politik.

“Saya fikir, beliau juga adalah anak Selangor dan kesesuaian itu adalah tepat untuk Tengku Zafrul menerima tawaran jawatan itu,” katanya kepada media selepas Majlis Penutup dan Makan Malam Konvensyen BN Selangor, di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kesesuaian Tengku Zafrul itu mungkin kerana beliau boleh menyumbang kekosongan yang diserahkan Datuk Seri Jamal Yunus.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika ditemui melahirkan penghargaan di atas kepercayaan diberikan kepadanya, malah akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan BN Selangor.



“Terima kasih kepada BN pusat dan Selangor di atas kepercayaan kepada saya seperti pengumuman di atas pelantikan sebagai Bendahari BN Selangor. Saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan dan BN,” katanya.

Beliau turut menyerahkan kepada pucuk pimpinan ketika ditanya sekiranya dilantik menjadi calon sama ada di kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

“Itu terpulang kepada pucuk pimpinan (BN Selangor)…(sama ada) calon atau tidak, yang penting kita bersama mengembalikan kemenangan BN di negeri ini,” katanya.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading