PPD, JPN sudah diarah ambil tindakan segera

Rembau: Kebakaran blok Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, Pedas, di sini, tengah hari tadi, mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin.

Menerusi laman Facebook miliknya, Mohd Radzi memaklumkan sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya segera mengambil tindakan.

“Tengah hari tadi berlaku kebakaran di SMKA Dato Haji Abu Hassan Haji Sail, membabitkan tingkat tiga bangunan asrama lelaki.



“Saya sudah mengarahkan PPD dan JPN segera mengambil tindakan susulan berikutan kejadian tersebut. Apa yang perlu diberi perhatian dan keutamaan adalah keselamatan serta kebajikan murid yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan usahakan yang terbaik untuk membolehkan pelajar dapat meneruskan pembelajaran dalam keadaan selesa.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 tengah hari itu, dilaporkan blok asrama pelajar lelaki sekolah berkenaan terbakar 80 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau Mohd Izwan Md Said dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.18 tengah hari dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.



Sementara itu, Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pelajar akan menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di Rumah (PdPR) sementara waktu.

“Mereka akan menjalani sesi itu sehingga penilaian sepenuhnya oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berkaitan keselamatan sekolah selesai.

“Keputusan ini diambil selepas perbincangan mengenainya dibuat ketika lawatan ke sekolah itu hari ini.

“Faktor keselamatan adalah aspek utama yang perlu diambil kira dan setakat ini, masih tiada laporan forensik yang diperoleh, namun punca kebakaran dipercayai akibat permasalahan pendawaian elektrik,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button