Kuasa beli mengecil Inflasi
Kuala Lumpur: Inflasi terutamanya membabitkan makanan dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang akibat peningkatan ketara dalam beberapa barang keperluan seperti minyak masak, telur dan ayam mentah.
Kesan domino kenaikan harga minyak masak dijangka memberi kesan kepada harga pelbagai makanan bergoreng yang selama ini menjadi santapan harian rakyat negara ini.
Apakah kesannya kepada poket pengguna? Pastinya gaji yang diterima terasa semakin kecil nilainya kerana jumlah barangan yang boleh dibeli dengan wang yang sama semakin berkurang.
Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Mei 2022 meningkat 2.8 peratus kepada 126.6 berbanding 123.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Mei 2022 iaitu 1.9 peratus.
Inflasi diukur berdasarkan IHP yang mengukur purata harga barangan dan perkhidmatan yang biasa digunakan oleh isi rumah, yang mana 12 kumpulan barangan dan perkhidmatan akan diambil harganya untuk pengiraan indeks.
Bank Negara Malaysia (BNM) menyasar inflasi tahun ini akan berada pada paras antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus.
Oleh kerana inflasi mengecilkan kuasa beli pengguna, wang RM100 hari ini mempunyai nilai lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelum ini dan sekiranya inflasi terus meningkat pada masa depan, nilai RM100 akan menjadi lebih kecil berbanding hari ini.
Berdasarkan harga semasa ayam dan minyak masak, dengan RM100 pada masa ini, pengguna boleh membawa pulang sebotol minyak masak lima kilogram dan mungkin juga dua ekor ayam, masing-masing dua kilogram dan 30 biji telur.
Jumlah barangan yang boleh dibawa pulang ini mungkin lebih kecil sekiranya kerajaan menarik balik subsidi harga ayam.
Sebagai pengguna, langkah terbaik untuk mengurus kewangan pada masa ini ialah dengan menilai semula kedudukan kewangan dan perbelanjaan semasa dengan mengurangkan kehendak dan memberi lebih tumpuan kepada keperluan.
Keperluan ialah barangan yang diperlukan untuk kelangsungan hidup seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan manakala kehendak lebih kepada keinginan untuk bermewah-mewah.
Sebagai contoh, makan nasi dengan ikan goreng dan kari ayam masih dianggap sebagai keperluan manakala makan nasi ayam goreng ala Korea di restoran mewah adalah kehendak.
Dalam keadaan kuasa beli pengguna semakin kecil, membuat bajet dan mengehadkan perbelanjaan untuk kehendak sahaja akan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan.
Sebenarnya ramai antara kita yang tidak perasan bahawa perbelanjaan kecil untuk perkara berasaskan kehendak seperti makan di restoran mewah, minum kopi berjenama tiga kali seminggu atau mengekalkan langganan tidak perlu, memberi kesan besar kepada kewangan.
Selain itu, penggunaan kad kredit tanpa pengurusan yang betul juga akan terus menyesakkan kewangan walau ia kelihatan seperti satu penyelesaian pantas untuk masalah kewangan.
Namun kegagalan membayar semula hutang kad kredit atau hanya membayar minimum sahaja setiap bulan akan menyebabkan beban kewangan terus bertambah dan sukar diselesaikan, lebih-lebih lagi kerana kadar inflasi yang meningkat dijangka terus menyesakkan poket pengguna.
Justeru, pengguna digalakkan membuat bajet bulanan untuk memantau pendapatan dan jika boleh, ketepikan sedikit wang untuk pelaburan jangka panjang. Pilih instrumen pelaburan berisiko rendah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk melindungi nilai wang daripada terus mengecil.
Pelaburan antara kaedah terbaik untuk melindungi nilai wang daripada mengecil akibat inflasi.
Selagi instrumen pelaburan memberi pulangan atau dividen yang sama atau lebih baik berbanding kadar inflasi, selagi itulah nilai wang dilindungi.
Bagi yang belum melabur, pelaburan mungkin tidak mampu melindungi nilai wang pada masa ini namun jika ia dimulakan segera, ia dapat melindungi nilai wang pada masa depan.
Dalam mengurus kewangan, pengguna bukan sahaja perlu melihat keperluan hari ini, tetapi juga perlindungan masa depan.
Inflasi memang di luar kawalan, tetapi melabur adalah pilihan yang boleh kita lakukan untuk terus melindungi nilai wang daripada mengecil.
METRO