UMNO Sabah mula kumpul senarai calon PRU-15
KOTA KINABALU: UMNO Sabah mengarahkan semua 25 bahagiannya mengemukakan lima calon yang berpotensi diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata senarai itu perlu dikemukakan segera kepada UMNO negeri untuk penilaian awal calon mewakili parti itu dan Barisan Nasional (BN).
“Senarai itu perlu dikemukakan segera, sama ada individu yang dicadangkan mempunyai kedudukan dalam bahagian atau sebaliknya yang penting dia mesti berwibawa, memenuhi kriteria dan boleh diterima oleh rakyat.
“Ini kerana matlamat kita pada PRU-15 ini adalah memenangi setiap kerusi yang ditandingi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas UMNO Sabah di Bangunan UMNO, di sini, malam tadi.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata setiap senarai yang dikemukakan akan dinilai oleh satu jawatankuasa khas berdasarkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi, selain laporan agensi berkaitan bagi menentukan calon yang benar-benar layak.
Katanya, UMNO menggunakan konsep WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disenangi) sebagai garis panduan untuk meletakkan calon terbaik mewakili parti pada PRU-15.
“Personaliti calon adalah elemen utama yang dilihat oleh rakyat dan ianya harus menjadi kriteria utama untuk UMNO BN.
“Kebolehmenangan harus menjadi keutamaan walaupun calon terbabit bukan pemimpin utama di peringkat bahagian.
“Orang boleh terima tetapi tidak semestinya orang suka jadi mesti mempunyai ketiga-tiga elemen ini untuk menjadi seorang calon,” katanya.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan berharap semua bahagian dan cawangan UMNO di negeri ini mengemaskini daftar pemilih termasuk mengenal pasti pengundi baharu khususnya golongan muda yang akan memilih pada PRU-15.
“Pastikan daftar pemilih dan Bilik Gerakan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap bahagian dan cawangan dikemaskini dan mereka perlu mengadakan ‘Simulasi Dry Run’ bagi mengenal pasti kekuatan parti,” katanya.
Beliau berkata, jentera BN dan UMNO perlu memastikan agar hati dan pemikiran pengundi di kawasan tumpuan dapat dimenangi supaya kerusi di kawasan terbabit memenangi majoriti yang diperlukan.
“Kita beranggapan bahawa seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan saya yakin kalau usaha-usaha jentera BN dan UMNO melebihi daripada seteru politik kita, maka kawasan tumpuan dapat kita menangi,” katanya.