Nunez dapat kad merah, Liverpool cicir mata

LIVERPOOL: Liverpool bangkit dengan 10 pemain untuk mengelak kekalahan pertama di depan penyokong sendiri di Anfield sejak 2017 apabila Darwin Nunez dibuang padang ketika seri 1-1 berdepan Crystal Palace sebentar tadi.

Gol sensasi Luis Diaz menyelamatkan satu mata buat Reds selepas Wilfried Zaha membuka jaringan buat Palace pada babak pertama.

Selepas hanya dua perlawanan musim ini, Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, Manchester City dengan pemain baharu yang dibeli dengan harga 75 juta euro (RM339.86 juta) itu perlu dipersalahkan.



Nunez meledak dalam dua penampilan pertama berdepan City dalam Perisai Komuniti dan menyelamatkan satu mata ketika masuk sebagai pemain gantian apabila seri 2-2 di tempat lawan berdepan Fulham minggu lalu.

Namun pemain Uruguay itu menanduk Joachim Andersen sebelum sejam perlawanan menyebabkan dia berdepan cabaran besar dalam perlawanan.

“Sekarang dia sendiri sudah tahu,” kata Jurgen Klopp apabila ditanya jika Nunez menyebabkan rakan-rakannya kecewa.

“Sudah tentu ia kad merah. Dia diprovokasi tetapi itu bukan cara dia sepatutnya membalas.”



Liverpool berhasil membalas hasil gol penyamaan Diaz dan Klopp berkata dia bangga bagaimana 10 pemainnya bangkit selepas minggu yang sukar disebabkan krisis kecederaan awal musim.

Roberto Firmino, Thiago Alcantara, Diogo Jota, Joel Matip dam Ibrahima Konate semuanya diketepikan manakala Joe Gomez hanya cergas untuk masuk dari bangku simpanan.

Nat Phillips terpaksa membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana sejak hari terakhir musim 2020/21 di bahagian pertahanan tengah manakala Klopp tiada pilihan di bahagian serangan pada penghujung aksi.

 



 

 

“Perasaan sebenar yang saya ada ketika ini ialah bangga,” kata Klopp. “Dengan persiapan minggu ini ia sesuatu yang menakjubkan. Ia seperti ada ahli sihir dalam rumah, setiap kali ada seseorang menghadapi masalah.”

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button