Waspada keadaan cuaca, petanda kepala air – Bomba

KUALA LUMPUR: Pengunjung kawasan rekreasi air terjun, khususnya di kawasan Hulu Selangor, diminta berwaspada dengan keadaan cuaca dan tanda-tanda kepala air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata kepala air berlaku apabila hujan lebat di bahagian hulu sungai walaupun cuaca di lokasi orang ramai sedang bermandi-manda adalah baik ketika itu.

“Orang ramai perlu peka akan keadaan sekeliling dan mengenal pasti tanda-tanda awal kepala air, termasuk perubahan warna air sungai dan banyak sampah sarap, ranting, dahan atau batu hanyut secara tiba-tiba.



“Selain itu, pantau juga paras air yang mungkin naik secara mendadak. Apabila semua ini berlaku, segera beredar ke kawasan lebih selamat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas mengenai persediaan pihaknya, terutama apabila negara diramalkan dilanda fenomena Monsun Timur Laut serta La Nina yang membawa lebih banyak hujan pula, beliau berkata, anggota JBPM Selangor telah dipersiapkan dengan latihan dan kemahiran khusus bagi operasi menyelamat.

“Selain itu, kami juga sentiasa mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ (titik panas) bencana kepala air. Air terjun di Hulu Selangor seperti Sungai Pertak, Lata Medang dan Lubuk Makau, ialah antara lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata walaupun tiada kejadian terkini mangsa lemas atau maut akibat kepala air di daerah berkenaan, orang ramai tetap dinasihatkan agar tidak mengambil mudah sebarang risiko yang mungkin berlaku.



“Mereka yang ingin masuk ke hutan (untuk bermandi-manda) dinasihat memaklumkan kepada polis (senarai nama pengunjung) atau lebih baik jangan masuk dahulu. Pemilik resort atau chalet juga dinasihatkan mengambil pendekatan sama.

“Dari aspek persiapan, polis sentiasa bersedia secara rutin sama ada membabitkan anggota, latihan dan kelengkapan, terutama apabila musim tengkujuh bermula,” katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Sungai Inki; Sungai Kedondong; Air Terjun Sungai Pinang; Air Terjun Serendah dan Sungai Chilling, Hulu Selangor, turut dikenal pasti sebagai kawasan berisiko berlaku fenomena kepala air di daerah pentadbirannya.

Baru-baru ini, selain fenomena berterusan La Nina yang menyebabkan peningkatan taburan hujan, Jabatan Meteorologi Malaysia turut meramalkan banjir besar melanda negara pada penghujung November depan, ekoran fasa peralihan monsun bermula akhir September hingga awal November.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button