Ratu Elizabeth II merupakan ikon fesyen tumpuan dunia

Walaupun sudah berusia, mendiang Ratu Elizabeth amat gemar menggayakan pakaian-pakaian yang fesyennya menarik perhatian.

LONDON, England – Baju berwarna cerah, topi sedondon dan sepasang sarung tangan putih, itulah gaya dan penampilan Mendiang Ratu Elizabeth II, yang sememangnya mudah dikenali dan bersesuaian dengan peranannya.

Baginda mangkat pada 8 September lepas di Istana Balmoral di Scotland.

Ketika pemerintahannya, Ratu Elizabeth gemar mencuba pelbagai warna, bermula daripada rona kuning kenari, hijau limau nipis, fuchsia (merah keunguan) dan biru laut.



Gaya Ratu Elizabeth yang unik itu dibangunkan lebih beberapa dekad oleh pembantu dan pereka, bermula dengan Norman Hartnell, yang mencipta gaun pengantin baginda ketika mengahwini Putera Philip pada 1947.

Diperbuat daripada satin, dihias dengan kristal dan lebih 10,000 mutiara, gaun itu sememangnya sesuatu yang mempesonakan terutamanya ketika Britain baru muncul daripada runtuhan Perang Dunia Kedua.

Hartnell turut mereka gaun sutera yang dipakai ketika pertabalan baginda pada 1953. Ia disulam dalam warna emas, perak, hijau dan merah jambu, lengkap dengan lambang negara-negara yang diperintahnya.

Pereka itu kemudian berkata, beliau mengambil inspirasi daripada “langit, bumi, matahari, bulan dan bintang serta segala-galanya yang boleh disulam di atas baju yang bersejarah”.



Gaya, penampilan diuruskan Kelly

Sementara itu, Hardy Amies adalah pembuat baju rasmi baginda daripada 1955 hingga 1990.

Katanya, tugas untuk menghasilkan pakaian bagi Ratu Elizabeth bukanlah sesuatu yang mudah.

Pada mulanya, Amies menghasilkan pakaian bagi kunjungan luar negara, sebelum mengambil alih tugas dari Hartnell, malah beliau turut bertanggungjawab ke atas baju merah jambu menyala yang digayakan pada sambutan jubli perak pada 1977.



Bagaimanapun, gaya dan penampilannya beberapa dekad ini diuruskan oleh Angela Kelly.

Anak perempuan kepada pekerja pelabuhan Liverpool, Kelly menyertai pasukan pembuat pakaian diraja pada 1993 dan menjadi pembantu peribadi serta jurugaya kanan pada 2002, selain menjadi tempat mengadu Baginda.

“Kami adalah dua wanita biasa.



“Kami berbincang mengenai pakaian, alat solek dan barang kemas,” katanya.

Ketika perintah berkurung COVID-19 pada 2020, Kelly turut memotong dan menggayakan rambut baginda, katanya dalam biografi yang diluluskan “The Other Side of the Coin: The Queen, the Dresser and the Wardrobe”.

Menghasil dan mereka pakaian Ratu Elizabeth bermaksud mematuhi kod pemakaian diraja.

Menurut bekas butler diraja, Grant Harrold, yang juga pakar etiket, kod itu bukanlah undang-undang bertulis, sebaliknya etiket tradisional lama dan peraturan protokol.



“Baginda sentiasa memakai stoking warna kulit dan warna kukunya adalah merah jambu pudar.

“Anda tidak akan melihat baginda memakai skit di bawah lutut, terutamanya di usia ini,” katanya.

Penampilan sentiasa menyerlah di khalayak ramai

Bagi pemakaian barang kemas, Ratu Elizabeth mengenakan kerongsang atau rantai mutiara.



Walaupun baginda dilihat mengekalkan tradisi lama dengan memakai topi dan sarung tangan ketika berada di khalayak ramai, namun terdapat alasan praktikal terdapat kod pemakaiannya.

Pada ketinggian 1.63 meter, topi berwarna cerah membolehkan baginda menonjol di khalayak ramai, begitu juga dengan payung lutsinar dan kasut tumitnya.

Harrold berkata, sarung tangan memainkan peranan lain, iaitu supaya tidak terkena jangkitan, memandangkan terdapat banyak tangan yang perlu disalam.

Kelly turut menjahit beberapa lapisan kain di dalam gaun Ratu Elizabeth sebagai alas daripada terkena impak manik dan kristal di belakangnya.

Bagi pakaian harian, pemberat kecil dijahit di dalam kelepet baju, sekiranya berlaku angin kencang. Kelly akan turut mencuba kasut baharu baginda bagi memastikan ia selesa.

Pemilihan warna berani

Bagaimanapun, tanda pasti pada gaya baginda adalah pemilihan warna berani yang digayakan dari kepala hingga kaki.

Ratu Elizabeth terkenal dengan pemakaian warna blok, menggunakan warna terang dan berani bagi memastikan baginda mudah dilihat pada acara penting.

Bagi Michele Clapton, pereka kostum bagi siri televisyen popular Netflix “The Crown”, pakaian baginda menghasilkan perisai, seragam.

Pada hujung minggu, di salah satu kediaman desanya, baginda menukar gaya dan sering dilihat mengenakan penutup rambut, baju hujan dan sepasang but.

“Orang ramai berkata, mereka kagum dengan kelajuan, di mana baginda boleh berada bersama anjing corgisnya di taman dan kemudian bertukar serta muncul dengan sut, topi dan sarung tangan pada acara seterusnya,” kata Clapton.

Pakaian Ratu Elizabeth dalam lawatan rasmi

Walaupun Ratu Elizabeth harus bersikap adil dalam politik, namun baginda menggunakan pakaiannya untuk menyampaikan mesej.

Sebagai contoh, kerongsang klover Ireland atau daun maple Kanada, digunakan dalam lawatan rasminya sebagai menghormati tuan rumah.

Pilihan warna yang digunakan sering memberi penghormatan kepada negara dilawati baginda, seperti lawatan penting ke Ireland pada 2011, di mana Ratu Elizabeth tiba dengan mengenakan warna hijau zamrud.

Khabar angin juga mengatakan bahawa beliau menggunakan beg tangan Launer, di mana baginda dipercayai memiliki lebih 200 koleksi, bagi memberi isyarat rahsia kepada kakitangannya, bergantung kepada apa yang dilakukannya.

Pada 2018, syarikat pakaian dalam mewah, Rigby & Peller dilucutkan waran dirajanya, selepas bekas pemiliknya mendedahkan perincian mengenai butiran lengkap pakaian dalam diraja dalam memorinya.

Ratu Elizabeth menghadiri Minggu Fesyen London yang pertamanya pada 2018 dan duduk bersebelahan pengarang veteran majalah Vogue, Anna Wintour.

Bagi acara itu bagi menyampaikan “Anugerah Fesyen Elizabeth II” sulung, baginda memakai gaun dan jaket biru telur itik.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button