Kemenangan album Yonnyboii di AIM mula dipertikai

KUALA LUMPUR – Edisi ke-23 Anugerah Industri Muzik (AIM) yang melabuhkan tirai malam kelmarin, dicemari kontroversi sejurus keputusan bagi kategori Album Terbaik diumumkan penyampai trofi ‘meastro’ muzik, Datuk M Nasir dan Ziana Zain pada segmen akhir acara anugerah itu.

Sebaik album Yonny (Deluxe Version) milik penyanyi hip hop, Yonnyboii diumumkan mengungguli kategori Album Terbaik, kata-kata negatif mula didengari berikutan bingkisan itu tidak menang dalam mana-mana kategori utama lain.

Malah, album berkenaan hanya ‘sangkut’ dalam satu lagi kategori, iaitu Rakaman Album Terbaik yang dimenangi album Belagu dihasilkan Dayang Nurfaizah.



Menyemak rekod kejayaan pemenang kategori Album Terbaik pada AIM lalu, lazimnya produk dihasilkan dipilih mengungguli kategori utama lain seperti Rakaman Album Terbaik, Lagu Terbaik atau Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu.

Inilah yang dilihat melalui rekod dicipta Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila album Dato’ Siti Nurhaliza Unplugged diangkat pemenang Album Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu dan Susunan Muzik Terbaik pada AIM 22 yang dianjurkan pada 2016.

Malah, pada AIM 21, album Fragmen yang dinobatkan Album Terbaik turut menjulang trofi Persembahan Vokal Terbaik Wanita.

Justeru, apabila juri AIM 23 memilih album Yonny (Deluxe Version) milik Yonnyboii yang tidak memenangi sebarang kategori utama, ramai tertanya-tanya apa kelebihan karya itu hingga mendapat pengiktirafan sebegitu.



Mengulas kontroversi itu, Ketua Juri, Datuk Mokhzani Ismail menjelaskan penilaian dibuat lebih kepada aspek penciptaan lagu, bukannya dari segi teknikal seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Bagi saya, pemenang Album Terbaik masih dinilai dari aspek mutu dan kualiti. Tetapi, tumpuan lebih kepada kualiti penciptaan lagu.

“Sudah tentu aspek teknikal seperti susunan lagu dan rakaman turut dinilai. Tetapi ini tidak memberi peratusan besar dalam pemarkahan.

“Kategori Album Terbaik perlu ada kekuatan semua segi,” katanya ditemui sejurus AIM 23 yang disiarkan secara langsung Astro Ria dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), berakhir, malam kelmarin.



Mokhzani berkata, biarpun album Yonny (Deluxe Version) tidak menang kategori utama lain, juri sependapat produk itu layak menang kategori Album Terbaik.

“Selepas diperhalusi juri, album Yonny (Deluxe Version) membawa imej dan konsep baharu, termasuk memiliki kualiti dari segi penghasilan lagu serta nyanyian,” katanya.

Mokhzani menambah, biarpun memiliki kualiti ditetapkan, album Yonny (Deluxe Version) berdepan saingan sengit empat finalis lain.

“Untuk kategori ini, kita ada 40 album dinilai dan hanya lima produk terbaik dipilih. Penjurian untuk kategori ini sahaja mengambil masa tiga hari.



“Tidak dinafikan, persaingan untuk kategori ini cukup sengit dan disebabkan itu, Yonnyboii menang tipis,” ujarnya.

Empat finalis lain yang bersaing dalam kategori Album Terbaik adalah Di Persiaran Cakrawala dihasilkan Ramayan; Tuju Untuk Kamu 18/19 (Tuju); Second Voyage (Sekumpulan Orang Gila) dan Sesudah Melakar Langit (A Limin).

Mengulas dakwaan kebanyakan pemenang AIM 23 dikatakan ada kaitan dengan penyiar rasmi, Astro apabila ada antara mereka diurus syarikat di bawah stesen penyiaran itu, Mokhzani menegaskan penjurian dibuat tanpa prejudis.

“Ketika penilaian dibuat, juri tidak tahu dengan siapa artis itu bernaung.



“Semuanya datang dengan karya dan pencalonan masing-masing dalam pelbagai kategori.

“Selepas semua kategori diperhalusi, dapatlah kita temui calon yang menduduki lima tempat terbaik.

“Dari situ kita cari pemenang tanpa mengetahui dari mana asalnya mereka.

“Itu yang tercetusnya kejutan apabila pemenang persembahan vokal terbaik lelaki adalah calon yang tidak begitu dikenali dalam industri.



“Secara tidak langsung membuktikan, AIM mencari mereka yang terbaik dan bukan berdasarkan populariti semata-mata,” katanya.

Sementara itu, AIM 23 turut mengiktiraf penasihat syarikat rakaman SRC, Tan Su Loke atas sumbangannya kepada industri muzik selama lebih lima dekad.

Su Loke menjadi antara individu terpenting di sebalik kejayaan Siti Nurhaliza yang disunting SRC selepas menjuarai Bintang HMI 1995.

Trofi Anugerah Wirama AIM disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa kepada Su Loke.

Biarpun berlangsung dalam tempoh amat singkat, iaitu sebulan selepas pengumuman AIM 23 dibuat, pujian wajar diberi kepada penganjur atas inisiatif diambil.

Selepas enam tahun hilang dari radar, AIM bukan sahaja dilihat sebagai pembakar semangat anak seni untuk terus berkarya, malah, menjadi talian hayat untuk mereka meneruskan survival dalam bidang penuh mencabar ini.

Mungkin ini bukanlah AIM terbaik yang pernah dianjurkan, jauh sekali hendak membezakannya dengan era kegemilangan acara anugerah ini yang lalu.

Namun, teras acara ini masih kukuh kerana pengisiannya masih menekankan aspek kualiti termasuk, melalui persembahan disajikan.

Semoga prestij acara anugerah ini terus terpelihara tanpa campur tangan sebarang anasir yang boleh mencacat atau mencalar reputasi yang dibina sejak lebih dua dekad lalu.

Bertemakan Glam & Sophisticated, AIM 23 dikendalikan tiga hos iaitu Sherry Alhadad, Awal Ashaari dan Azad Jasmin.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button