‘Raja pecut’ Azeem catat 10.33 saat

KUALA LUMPUR: Pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m), Muhammad Azeem Fahmi meramalkan tiada laluan mudah buat dirinya dalam misi bergelar ‘raja pecut’ Sukan Malaysia (SUKMA) XX apabila percaya akan diberi tentangan hebat oleh pencabar lain menjelang aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Pelari berusia 18 tahun itu yang mewakili Perak menyifatkan atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi dan Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor antara pencabar utama dalam usahanya mendominasi acara riben biru itu.

“Insya-Allah kalau ada rezeki (menang pingat emas) tetapi saya tidak boleh memandang rendah kemampuan atlet lain. Seperti yang kita dapat tengok tadi, Haiqal berlari dalam keadaan bersahaja dan begitu juga Arsyad (turut berpotensi).



“Saya percaya mereka akan beri tentangan sengit dan saya akan buat yang terbaik,” katanya yang layak ke pentas final selepas mengungguli saingan separuh akhir 2, hari ini.

Pada saingan separuh akhir itu, dia jauh meninggalkan pencabarnya yang lain apabila tiba di garisan penamat dengan catatan 10.33 saat (s) mengatasi atlet Pulau Pinang, Muhammad Fakhrul Abdul Aziz kedua yang mencatatkan 10.69s manakala Muhammad Idham Rosli dari Wilayah Persekutuan ketiga 10.82s.

Azeem yang memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, awal bulan lalu, berkata dia berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan dalam saingan separuh akhir itu.

“Kalau ikutkan memang catatan dalam lingkungan itu yang kami sasarkan kerana sekarang saya lebih mementingkan konsistensi daripada melakukan peningkatan yang banyak. Bagi saya kunci untuk berjaya adalah konsisten, kita boleh melakar pencapaian yang besar tetapi kita juga perlu pastikan kita boleh kekalkannya.



“Selagi saya boleh buat bawah 10.40s atau 10.30s, ia adalah sesuatu yang baik untuk saya,” katanya.

Haiqal yang juga pemenang emas Sukan SEA Manila 2019 melangkah ke pentas final selepas mengungguli saingan separuh akhir 1 dengan catatan 10.57s manakala Arsyad mendominasi separuh akhir 3 apabila merakamkan masa 10.54s.

Tiga pelari terpantas dalam setiap saingan separuh akhir layak ke pentas final.

Sementara itu, saingan wanita pula menyaksikan atlet Terengganu, Nor Sarah Adi mengungguli separuh akhir 1 dengan catatan 11.94s diikuti Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah (12.04s) kedua, pelari Terengganu, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka ketiga (12.42s) dan Erissca Peter dari Sarawak keempat (12.56s).



Saingan separuh akhir 2 wanita pula didominasi atlet Selangor, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal yang merakam masa terpantas manakala Feova Lim Yi Fei dari Sabah kedua (12.14s) diikuti atlet Terengganu, Siti Norzullaika Ramli ketiga (12.55s) dan wakil Sarawak, Emma Hill Yu Wei Ling keempat (12.55s).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button