Belanda menewaskan Poland 2-0
WARSAW: Belanda menewaskan Poland 2-0 di Warsaw untuk terus menghampiri separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.
Cody Gakpo dan Steven Bergwijn meneruskan rentak cemerlang mereka untuk membantu skuad kendalian Louis van Gaal kekal tiga mata di depan Belgium dalam saingan Kumpulan A4.
Mereka hanya memerlukan satu mata daripada perlawanan terakhir menentang Belgium di Amsterdam Ahad ini bagi mengesahkan kedudukan sebagai pendahulu.
Belanda dilihat berada pada prestasi terbaik mereka menjelang aksi pembukaan Piala Dunia di Qatar menentang juara Afrika, Senegal pada November 21, sebelum aksi Kumpulan A seterusnya bertemu tuan rumah dan Ecuador.
Poland layak ke Piala Dunia menerusi kemenangan play-off ke atas Sweden tetapi tampil hambar pada aksi Liga Negara-Negara UEFA di laman sendiri awal pagi tadi.
Belanda mendahului pada minit ke-14 selepas Denzel Dumfries mengumpan bola kepada Gakpo di depan gawang.
Pemain sayap PSV Eindhoven itu kini sudah meledak lapan gol dalam tujuh perlawanan untuk kelab dan negara.
Poland akhirnya mempunyai peluang pada minit ke-53, tatapi rembatan Arkadiusz Milik tersasar.
Belanda menambah jaringan tujuh minit kemudian apabila Vincent Janssen membuat umpanan untuk gol Bergwijn.
Pemain sayap itu juga mengharungi kempen memberangsangkan setakat ini, meledak lapan gol untuk Ajax sejak berpindah dari Tottenham Hotspur pada Julai.
AFP