Koleksi Tenun Pahang Diraja serlah keaslian bunga colek
PUTRAJAYAa: Penganjuran Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 yang akan diadakan di Hotel Marriot di sini, bermula hari ini hingga 30 September, mempamerkan ratusan koleksi tekstil dari pelbagai negara termasuk Turkiye, Singapura dan Filipina.
Dengan bertemakan Celebrating Textiles: A Journey, simposium yang dianjurkan Yayasan Tenun Pahang Diraja itu akan menghimpunkan penggiat seni tekstil, artisan dan penenun yang disertai 327 peserta dari 16 negara.
Menerusi pameran khas berkenaan, orang ramai dapat melihat koleksi tenunan pakaian anakanda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dari Tenun Pahang Diraja, koleksi kraf tekstil Malaysia daripada Perbadanan Kraftangan Malaysia dan koleksi tekstil songket daripada Yayasan Tengku Zahirah.
Turut dipamerkan adalah koleksi tekstil tenunan Pahang Diraja daripada Jabatan Penjara Malaysia, koleksi tekstil batik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta koleksi tekstil antarabangsa.
Simposium dwitahunan itu juga akan menampilkan 14 jurudemo kraf daripada Perbadanan Kraftangan Malaysia bagi menunjukkan keindahan seni tekstil negara, termasuk songket dan batik serta teknik penghasilan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk, menggerus dan dastar untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.
Simposium siri kelapan
Penganjuran simposium berkenaan kini sudah memasuki siri kelapan dan kali terakhir diadakan pada 2019 di Jogjakarta, Indonesia sebelum ditunda kerana penularan COVID-19 yang memuncak pada ketika itu.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan merasmikan pembukaan simposium itu dan Raja Permaisuri akan menyampaikan ucaptama pada majlis sama.
Sementara itu, untuk pameran kali ini, Ketua Seksyen Vokasional Industri di Jabatan Penjara, Zainah Pardi, berkata pihaknya akan mempamerkan lebih 40 koleksi Tenun Pahang Diraja yang dihasilkan banduan dari Penjara Penor dan Bentong, Pahang.
“Semua yang ditampilkan pada pameran dari Jabatan Penjara ini adalah Tenun Pahang Diraja, kalau dilihat setiap hasil ini mempunyai signature sendiri dengan keaslian bunga colek, iaitu terdapat sedikit garis pada bunganya dan corak itu memang ada pada setiap rekaannya.
“Malah, Raja Permaisuri sendiri yang memberikan tunjuk ajar kepada banduan di penjara berkenaan dan kita memang mempunyai penenun Pahang Diraja serta corak yang ditampilkan akan mengikut perkembangan semasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa persiapan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8, semalam.
Banduan lelaki jadi penenun
Tambahnya, pelatih yang bekerja itu adalah kalangan pegawai penjara sendiri dan mereka perlu menghadiri kursus yang diajar oleh Tunku Azizah di bawah Yayasan Tenun Pahang.
“Uniknya ialah jika di tempat lain kita lihat penenun adalah wanita, namun di penjara penenun dalam kalangan banduan lelaki.
“Mereka dilatih dan mempunyai sijil dan memang sudah mahir dalam bidang tenunan,” katanya.
Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan untuk membangunkan Tenun Pahang Diraja sebagai satu perusahaan kraf warisan yang mampu memperbaiki taraf hidup rakyat dengan mencipta peluang pekerjaan yang saksama bagi pekerja seni dan penenun.
BHOnline