INSAN ISTIMEWA TANPA TANGAN TETAP MAHU BANTU SIAPKAN PPE UNTUK ‘FRONTLINERS’

 

 

[KGVID]https://www.my-tv.online/wp-content/uploads/2020/04/1586974856899.mp4[/KGVID]


Walaupun dilahirkan tanpa kedua-dua tangan, orang kurang upaya (OKU) ini turut menyumbang tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE).

Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan (KKTI), Norfarrah Syahirah Shaari, 32, tidak mahu melepaskan peluang untuk menyumbang kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan COVID-19.

Norfarrah Syahirah menggunakan kemahiran menjahit dengan menggunakan kaki untuk menghasilkan gaun isolasi yang akan disumbangkan kepada petugas kesihatan Hospital Teluk Intan (HTI) dan Klinik Kesihatan Teluk Intan.

Menurutnya, inisiatif #DariKomunitiUntukKomuniti itu dilakukannya bersama sembilan sukarelawan yang juga kakitangan KKTI melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan turut dibantu 25 tukang jahit di sekitar kolej berkenaan.

“Sebanyak 400 meter kain digunakan untuk menghasilkan 252 gaun isolasi. Kain dipotong di kolej dan rumah beberapa tukang jahit sebelum diagihkan kepada semua sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing sejak enam hari lalu.

“Saya menjahit lapan pasang PPE namun dua saja yang sudah siap kerana perlu membahagikan masa dengan kerja lain dan enam lagi akan disiapkan dalam minggu ini,” 

Katanya, mereka akan mengumpulkan semua PPE pada Isnin depan sebelum diagihkan kepada petugas kesihatan.

“Ini sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana menyedari PPE menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan ketika ini,” katanya.

Norfarrah Syahirah berkata, beliau meminati bidang jahitan dan tidak berasa kekok menjahit dengan menggunakan kaki, malah turut menjahit baju untuk kegunaan sendiri sejak lapan tahun lalu.

“Menjahit dengan kaki nampak sukar, perlu pegang lipatan kain sambil jahit supaya kain tidak berubah kedudukan tetapi saya bersyukur semua kerja rasa mudah cuma memerlukan kesabaran tinggi.

“Ada juga bertanya macam mana saya masukkan benang dalam jarum dan menggunting kain. Sebenarnya sama saja seperti tukang jahit lain cuma saya guna kaki dan ini kelebihan yang Allah SWT beri pada saya.

“Saya mengambil masa kira-kira sesaat saja untuk memasukkan benang dalam jarum tapi kalau benang bergumpal memang ambil masa lama sikit,” katanya.

Norfarrah Syahirah berkata, beliau berharap usahanya itu dapat memberi inspirasi kepada orang ramai terutama OKU untuk terus menyumbang kemahiran.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button