Dendang perantau Aaron

KUALA LUMPUR: Lirik lagu Dendang Perantau nyanyian Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee memberi makna tersendiri buat pelakon, Datuk Aaron Aziz.

Selepas sekian lama meraikan 1 Syawal bersama keluarga tercinta di Singapura, tahun ini, rutin itu tidak dapat dilakukan berikutan larangan pergerakan merentas negeri bagi membendung penularan COVID-19.

Aaron tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya menyambut Aidilfitri di perantauan, tanpa ayah dan bonda tercinta di sisi.

“Pasti kami rasa sebak kerana julung kali tidak bersama keluarga sendiri dan mentua di Singapura pada raya pertama.



“Tidak tahulah bagaimana keadaannya nanti. Mungkin ini adalah Hari Raya paling suram buat kami.

“Bukan sahaja sedih tidak dapat berjumpa keluarga, malah terkilan tidak dapat menunaikan solat Hari Raya di masjid.

“Kami akan buat panggilan video pada pagi raya supaya dapat rasa mereka ada di sisi pada hari yang penuh bermakna itu.

“Kali terakhir saya bertemu keluarga adalah kira-kira empat bulan lalu. Ketika itu, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum dikuatkuasakan.



“Tentunya perasaan rindu untuk bertemu mereka membuak-buak. Namun, apakan daya, mahu atau tidak, saya kena akur dengan hakikat ini… Kena sabarlah,” luahnya kepada BH Online.

Lebih menyedihkan, kata penyandang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 ini apabila mengenangkan hasrat anak sulung, Danish Anaqi yang teringin berjumpa nenek sebelum berangkat melanjutkan pengajian, Ogos depan.

“Danish akan melanjutkan pelajaran di Jepun. Jadi, boleh dikatakan, ini adalah Hari Raya terakhir kami bersama sebelum dia memulakan pengajian tiga tahun.

“Danish sedih sedih kerana berharap dapat bertemu kedua-dua nenek dan bersalaman dengan mereka.



“Ini adalah salah satu kesan yang terpaksa keluarga kami hadapi berikutan pandemik ini.

“Saya harap semua ini segera berakhir dan kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Mengenai persiapan menyambut Lebaran kira-kira seminggu lagi, Aaron atau nama penuhnya, Aaron Mustapha Aziz, 44, berkata, serba-serbinya dirancang sederhana.

“Seperti biasa, baju saya banyak disediakan Jakel. Isteri dan anak-anak cukuplah sekadar sepasang seorang.



“Lagipun raya tahun ini bukan dapat ke mana-manapun. Sekadar makan-makan dan merakamkan gambar bersama sebagai kenangan,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media kempen Jakel Barulah Raya 2020 di Jakel Mall, Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Turut hadir, Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar dan duta jenama jenama tekstil terkenal itu, Nabil Ahmad.

Pada majlis itu media diperkenalkan dengan duta baharu Jakel untuk kategori baju melayu bersaiz besar iaitu pengacara penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar.

Ini adalah tahun kelapan berturut-turut Aaron bergelar duta untuk kategori baju Melayu potongan klasik jenama tekstil berkenaan, sekali gus menjadi duta paling lama bertahan.



Berkongsi rahsia kekal lama sebagai duta, pelakon Ombak Rindu ini mendedahkan paling penting adalah keserasian terjalin antara mereka.

“Kita ada keserasian yang baik untuk terus bekerjasama. Sepanjang kolaborasi ini, Jakel tidak pernah berkira dalam soal bayaran.

“Setiap sebut harga yang dinyatakan, sangat munasabah selepas mengambil kira banyak faktor.

“Boleh dikatakan kerjasama kami ini adalah situasi menang-menang. Seperkara lagi, mungkin disebabkan baju Melayu jenama Aaron Aziz mempunyai peminat tersendiri.



“Jualan menggalakkan adalah antara faktor yang membuatkan saya terus kekal sebagai duta produk mereka,” katanya yang pernah merakamkan lagu Salam Semua bersama Sleeq.

Bercerita mengenai aktiviti sepanjang PKP, Aaron berkata, seperti anak seni lain, selepas kerja penggambaran tergendala, dia lebih banyak menumpukan perhatian kepada perniagaan atas talian.

Aaron juga terbabit dengan kerja amal menerusi pertubuhan kebajikan yang diasaskan, Journey To Insyirah.

“Sepanjang PKP, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang saya asaskan itu cukup sibuk.

“Sehingga kini, kami sudah membantu 3,000 orang. Alhamdulillah, rasa puas apabila dapat membantu golongan memerlukan dalam saat getir seperti ini.

“Selain itu, saya banyak mempromosikan jualan atas talian. Berikutan tahun ini tiada bazar, jadi saya gunakan pelantar digital untuk berniaga.

“Saya mengajak teman-teman di Singapura untuk menjual barangan mereka di bazar digital ini.

“Setiap hari, saya mengadakan sidang video untuk membicarakan pelbagai topik,” katanya.

Tambah Aaron, sebelum PKP, dia terbabit dengan penggambaran drama Jalan Sesat Ke Syurga arahan Osman Ali untuk siaran Astro.

“Namun berikutan pandemik ini, penggambaran terpaksa ditunda seperti diarahkan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button