USM cebur industri pelabuhan dan logistik

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd., Datuk Sasedharan Vasudevan (dua dari kanan) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sambil disaksikan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng.

Oleh Azrin Muhammad

GEORGETOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) menjalinkan kerjasama pintar dengan Penang Port Sdn. Bhd. (Penang Port) sebagai salah satu inisiatif melebarkan jaringan dalam industri pelabuhan dan logistik.



Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, kerjasama berkenaan dimeterai menerusi satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Penang Port dengan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.

“Usahasama ini akan membolehkan Penang Port melebarkan lagi jaringan kerjasama dalam melaksanakan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama USM.

“Objektif utama MoU ini adalah menjalinkan kerjasama pintar yang mampu memacu ke arah menjadikan Penang Port sebagai salah satu peneraju utama dalam Industri Pelabuhan dan Logistik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Turut hadir dalam upacara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sdn. Bhd., Datuk Sasedharan Vasudevan; Timbalan Naib Canselor USM (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Datuk Dr. Abdul Rahman; Ketua Projek Khas SPALTech Penang Port Sdn. Bhd.; Jafrul Fazli Jaafar; Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng dan Pengarah BJIM, Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin.



Dalam masa sama, Faisal Rafiq berkata, perjanjian itu juga dilaksanakan bagi menyahut seruan kerajaan berhubung penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) yang berstatus Pelabuhan Pintar dan Hijau.

“Kolaborasi ini akan fokus kepada pertukaran staf, program latihan, kerjasama R&D dan program akademik serta pensijilan agar dapat memperluaskan kepakaran staf USM, sekali gus memantapkan lagi kerjasama universiti-industri,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button