PH Dan PN Amal Sikap ‘Double Standard’ Serang BN
KUALA LUMPUR – Sikap dualisme yang diamalkan parti pembangkang jelas menunjukkan bahawa mereka memiliki dua prinsip yang bertentangan menjadikan mereka tidak konsisten serta double standard dalam menyerang UMNO/Barisan Nasional (BN).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihak pembangkang ini seolah-olah cakap tidak serupa bikin serta tidak berani untuk mendedahkan segala salah laku yang terjadi dalam parti mereka sendiri.
“Malam tadi saya menjadi panel Facebook live. Tajuk amat menarik. ‘Dualisme Politik Lawan’. Apa maksudnya? Parti memiliki dua prinsip yang bertentangan. Depan cakap lain, belakang cakap lain. Cakap tidak serupa bikin. Tidak konsisten dan double standard. Macam cerita ‘Panca Delima’. Malam jadi manusia, siang jadi ular.
“Jadi manusia pun dia jahat, bila jadi ular lagi kuat dia belit orang. Banyak contoh. Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebut 12 kali audit forensik terhadap Sapura bila berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di MATIC pada 12 Mei 2022,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senggarang itu turut berkata, Anwar baru-baru ini menuntut agar audit forensik dijalankan terhadap tiga organisasi Malaysian Indian Congress (MIC) namun enggan mendedahkan keputusan kemenangan Timbalan Presiden parti itu, Rafizi Ramli.
“Terbaru, dia tuntut audit forensik terhadap tiga organisasi MIC yang didakwa salah guna dana kerajaan untuk membantuk masyarakat India iaitu MAIKA, MITRA dan MIED.
“Soalnya apa jadi dengan audit forensik terhadap Pemilihan PKR? Betulkah kemenangan Rafizi ‘null and void’? Kenapa takut dedah? Inilah double standard,” katanya lagi.
Menurut Mohd Puad lagi, perkara yang sama turut diamalkan oleh Pakatan Harapan (PH), Dap dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir apabila mereka menjunjung konsep ‘Rule of Law‘, tetapi mengugurkan kes-kes pemimpin mereka sendiri semasa menjadi kerajaan.
“Samalah juga PH, Dap dan Tun M. Kononnya anti rasuah dan menjunjung ‘Rule of Law‘. Kes Lim Guan Eng, Rafizi dan dua ADUN Dap yang dituduh sokong Tamil Eelam. Turut digugurkan.
“Lim Guan Eng dilantik jadi Menteri Kewangan ketika dia dibicarakan di mahkamah. Ramai yang ‘terkejut beruk’.
“Samalah Muhyiddin. Dia kata ‘podalah, Johor kubu kuat UMNO’. Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dia tak letak jawatan Presiden PPBM. Betul-betul ‘Panca Delima’. Itulah dualisme parti lawan,” katanya lagi.
UMNO Online